Pages

Friday, April 17, 2009

SEBULAN UNTUK KETAHUI KEPUTUSAN PILIHAN RAYA INDIA

NEW DELHI: Puluhan juta penduduk India, negara demokrasi terbesar di dunia, semalam mula mengundi untuk memilih pemimpin politik mereka semalam.

Proses pengundian itu dijadualkan berjalan selama sebulan tanpa sebarang petanda jelas mengenai siapakah pemenang yang bakal memimpin negara itu sedang ia berdepan dengan pergolakan ekonomi sejagat.

Semalam adalah fasa pertama daripada lima fasa pengundian, yang keseluruhannya melibatkan kira-kira 714 juta pengundi berdaftar di India atau lebih dua kali ganda jumlah penduduk Amerika Syarikat.

Fasa pertama itu termasuk proses pengundian di wilayah- wilayah tengah dan timur India yang pernah menghadapi masalah serangan kumpulan militan pengikut fahaman Mao Zedong hingga mengakibatkan pengerahan puluhan ribu askar dan polis ke sana.

Awal semalam, sekumpulan orang yang disyaki pemberontak menyerang askar-askar separa tentera yang sedang meronda di kawasan timur Jharkhand hingga menyebabkan enam askar terbunuh, kata polis.

Beberapa unit tambahan dikerah ke kawasan itu di Latehar, kira-kira 130 kilometer ke barat laut Ranchi, ibu kota wilayah itu, kata Superintenden Hemant Topo.

Di Bihar, kumpulan pemberontak menyerang sebuah pusat mengundi di daerah Gaya hingga menyebabkan seorang anggota polis terbunuh, kata Timbalan Ketua Inspektor Anupama Nilokar.

Gerila-gerila Naxalites pula, yang bertempur dengan pihak tentera selama berdekad-dekad lamanya di beberapa daerah luar bandar, menuduh pihak berkuasa merampas sumber-sumber asli daerah itu dan menawarkan sedikit saja hasilnya kepada penduduk.

Sejak Sabtu lalu, hampir 20 anggota polis mati dalam beberapa serangan kumpulan tersebut.

Ribuan askar juga dikerah untuk meronda wilayah utara Uttar Pradesh, yang mempunyai sebahagian besar kerusi dalam Parlimen India.

Sebanyak enam daripada 80 kerusinya dipertandingkan semalam.

Tiga daripada 14 daerah di wilayah timur laut Assam juga mula mengundi pada hari yang sama.

'Saya sedar ancaman pihak militan tetapi tidak seorang pun yang harus berada di rumah kerana ketakutan,' kata Cik Monaliza Bordoloi Chakravarty.

Suri rumah berusia 30 tahun itu adalah antara ratusan pengundi yang beratur di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat di pusat pembuangan undi di sebuah sekolah di Diphu, ibu pejabat daerah Karbi Anglong, kira-kira 350 kilometer ke selatan Gauhati.

Dengan lebih 1.2 bilion penduduk, India biasanya mengadakan pembuangan undi secara bertahap atas sebab-sebab logistik dan keselamatan.

Pilihan raya itu menggunakan 1.3 juta mesin pengundian elektronik di 828,804 pusat pembuangan undi. Keputusannya akan diumumkan pada 16 Mei ini. -- AP.

No comments:

Posting Terkini