Pages

Thursday, April 16, 2009

PILIHAN RAYA INDON: ADA CALON BUNUH DIRI, ADA MAUT SAKIT JANTUNG

JAKARTA: Seorang calon yang gagal memenangi kerusi dalam pilihan raya parlimen Indonesia yang hangat dipertandingkan telah membunuh diri dan sekurang-kurangnya dua yang lain mati akibat serangan jantung, demikian menurut agensi berita Associated Press (AP) yang menukil pihak polis dan beberapa laporan berita tempatan semalam.

Ribuan calon di negara yang mempunyai 235 juta penduduk itu telah melaburkan wang simpanan sepanjang hayat mereka - dalam beberapa kes termasuk rumah-rumah mereka - untuk berkempen dalam pilihan raya ketiga parlimen Indoneisa sejak mantan Presiden Suharto diguling kira-kira sedekad lalu.

Kerusi-kerusi dewan rakyat pada peringkat nasional, wilayah dan tempatan telah dipertandingkan dalam pilihan raya itu.

Jawatan-jawatan itu ditawarkan gaji yang lebih lumayan, dengan diberi gaji bulanan sekitar AS$1,200 ($1,800), berbanding pekerja biasa di Indonesia.

Purata gaji bulanan pekerja biasa ialah kurang A$200.

Ia juga dilihat sebagai satu peluang bagi calon-calon bagi mendapat dan menggunakan kuasa serta pengaruh.

Cik Sri Wahyuni, seorang calon di wilayah Jawa Barat, telah menggantung dirinya dari bumbung sebuah pondok di kawasan luar bandar setelah keputusan awal pilihan raya itu menunjukkan beliau gagal meraih undi yang diperlukan untuk menang, kata suami calon kepada polis yang ditukil oleh laporan agensi berita rasmi Antara semalam.

Sekurang-kurangnya dua lagi calon wanita di bandar-bandar Buleleng dan Solo mati akibat serangan jantung selepas mereka mendapat tahu bahawa mereka tidak mempunyai peluang akan menang, kata laporan AP, sambil menukil sumber polis.

Pilihan raya parlimen minggu lalu, yang menjadi pelancar kepada satu pilihan raya presiden pada 8 Julai ini, membolehkan rakyat Indonesia buat kali pertamanya mengundi calon-calon serta parti-parti politik.

Calon-calon yang bertanding merebut kerusi di parlimen ada kalanya terpaksa menjual rumah, tanah atau meminjam wang daripada para pemberi pinjaman haram.

Malah, hospital-hospital pesakit jiwa juga telah menambahkan jumlah kakitangannya untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi calon-calon yang dilanda kemuraman selepas pilihan raya kelak.

Sementara itu, satu laporan dalam talian akhbar The Jakarta Post semalam berkata rakyat Indonesia mungkin boleh menjangkakan tempoh proses pengundian presiden yang lebih singkat.

Laporan itu memetik pakar-pakar politik sebagai berkata para pemimpin parti ketika ini kelihatan memberikan sokongan kepada sama ada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dari Parti Demokrat atau pesaing utamanya, Cik Megawati Soekarnoputri, yang juga bekas presiden Indonesia dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

'Saya boleh meramalkan suasana ini berdasarkan pada trend sekarang dengan parti-parti seperti Gerindra dan Hanura semakin condong kepada PDI-P, manakala parti-parti Islam seperti PKS (Parti Keadilan Sejahtera), PKB (Parti Kebangkitan Bangsa) dan PPP (Parti Persatuan Pembangunan) lebih selesa dengan Parti Demokrat,' kata pakar politik Universiti Indonesia, Encik Ani Sucipto, kelmarin.

Dr Yudhoyono mengalahkan Cik Megawati pada pilihan raya 2004.

No comments:

Posting Terkini