Pages

Wednesday, April 15, 2009

Padang Serendah Yang Jadi Rebutan

SHAH ALAM, 13 April – Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam satu kenyataannya hari ini memberitahu pihaknya akan mengadakan perbincangan lebih kecil bagi mencari kesepakatan dalam menyelesaikan status padang awam Serendah yang menjadi rebutan dua pihak sebelum ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Penolong Pegawai Penerangan MDHS, Junainah Abdullah kepada Selangor Kini petang tadi, satu perjumpaan susulan akan dibuat dalam masa terdekat antara MDHS, wakil teknikal, badan bukan kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK/JKP) sekitar Serendah.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu akan dibuat secara teliti sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membuat keputusan hasil daripada laporan berkenaan.

Isu ‘berebut’ padang ini dikatakan timbul apabila penduduk dimaklumkan yang padang tersebut akan diambilalih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serendah.

Penduduk mempersoalkan pengambilalihan itu kerana mendakwa ia adalah milik MDHS dan kedudukannya terletak di luar kawasan sekolah berkenaan.

“Secara umumnya dua pandangan utama telah diutarakan dalam perjumpaan pagi tadi sama ada menyerahkan padang berusia 30 tahun itu kepada SJKC Serendah atau mengekalkan padang berkenaan sebagai padang awam,” katanya.

Beliau berkata perbincangan yang berlangsung secara harmoni itu turut dihadiri ahli majlis, wakil penduduk, wakil Pejabat Tanah dan Daerah serta wakil Pejabat Pelajaran.

Menurutnya, pihak MDHS turut mengedar borang maklumbalas untuk diisi oleh orang ramai yang hadir.

“Keputusan maklumbalas ini akan disertakan kepada MKKN kelak,” katanya.

Seramai 398 orang penduduk sekitar Serendah hadir dalam perjumpaan hari ini.

No comments:

Posting Terkini