Pages

Tuesday, April 14, 2009

Dua pegawai polis didakwa terbabit kes rasuah

KOTA BHARU: Dua pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan meminta dan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 daripada beberapa suspek disyaki memiliki barangan curi.

Inspektor Mude Saefi, 30, dan ASP Bahrin Mohd Noh, 31, kedua-duanya bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, minta dibicarakan ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Kedua-dua mereka pada jam 4.45 petang 20 Ogos tahun lalu, didakwa meminta suapan berjumlah RM5,000 tunai daripada Mohd Nasir Idris, melalui Norizam Raibul sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Nasir, Shahizan Che Azlan dan Che Syahid Che Azlan yang disyaki memiliki barang curi.

Tertuduh juga pada jam 5.30 petang hari yang sama, didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada tiga suspek memiliki barang curi tersebut.

Mereka menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 10(a) bb Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dipenjara tidak kurang daripada 14 hari atau tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda sebanyak lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Sophian Zakaria. Bahrain diwakili peguam Ridhuan Ismail manakala Mude tidak diwakili peguam.

Hakim Wan Fadhilah menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes berkenaan dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang.

Kedua-dua pegawai polis itu turut ditahan kerja sementara sehingga kes selesai. - Bernama

No comments:

Posting Terkini