Pages

Tuesday, April 14, 2009

CHINA BAKAL ATASI AS DALAM IMBANGAN BARU EKONOMI

DUNIA akan melalui satu perubahan imbangan, dengan permintaan dari Amerika Syarikat dijangka merosot kerana para penduduknya lebih mengutamakan simpanan daripada berbelanja, menurut laporan terbaru Bank Dunia.

Ini bermakna negara-negara yang biasa mengeksport ke Amerika Syarikat seperti Singapura perlu menebarkan 'sayapnya' agar tidak terlalu bergantung kepada ekonomi terbesar itu di masa hadapan.

Sebaliknya, China mungkin menjadi pasaran yang akan menjadi pengimport barangan pengguna utama di dunia.

China, yang ketika ini dianggap sebagai syarikat pengilang berkos rendah, akan menjadi sebuah gergasi yang memerlukan permintaan besar produk-produk luar negara bagi memenuhi keperluan penduduknya yang ramai.

Membentangkan laporan terbaru Bank Dunia Bagi Asia Timur di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) semalam, Pakar Ekonomi Utama Bank Dunia, Encik Ivailo Izvorski, berkata:

'Trend pertumbuhan China akan berubah daripada pergantungan pengilangan didorong eksport kepada perbelanjaan dalam negeri terutama import. Perubahan terhadap import China telah mengatasi Amerika sejak 2007, memberikan dorongan kepada permintaan sejagat dalam tempoh sukar ini.'

Lantas, bagi negara pengkesport seperti Singapura, China dijangka menjadi pasaran lebih tinggi di hari muka jika permintaan di Amerika terus berkurang kerana penduduknya yang lebih berhati-hati ekoran iktibar daripada krisis kewangan yang berlaku ketika ini.

Ekonomi di Asia Timur dijangka tumbuh sebanyak 5.3 peratus tahun ini daripada 8 peratus tahun lalu. Tetapi jika ekonomi China dikecualikan, Asia Timur dijangka tumbuh sebanyak 1 peratus tahun ini.

Ekonomi China dijangka tumbuh sebanyak 6.5 peratus tahun ini daripada pertumbuhan sebanyak 9 peratus tahun lalu.

Laporan itu bagaimanapun tidak memberi ramalan ekonomi-ekonomi membangun di Asia Timur seperti Singapura dan Jepun.

Dengan kelembapan ekonomi, rentak pengurangan kemiskinan dijangka perlahan, dengan 10.2 juta penduduk di rantau ini dijangka kekal miskin.

Malaysia, Thailand, Timor Leste dan Kemboja dijangka menghadapi kenaikan bilangan penduduk yang miskin disebabkan pengurangan pendapatan per kapita tahun ini.

No comments:

Posting Terkini