Pages

Thursday, March 19, 2009

USTAZ DITAHAN, BOLEH DIJEL JIKA BERSALAH

JAKARTA: Seorang guru agama di Indonesia yang mengahwini gadis berusia 12 tahun, ditahan kerana melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak, menurut polis semalam.

Encik Pujiono Cahyo Widianto, 43 tahun, yang lebih dikenali sebagai Syekh Puji, boleh dikenakan hukuman sehingga 15 tahun penjara jika didapati bersalah.

Syekh Puji ditahan polis di bandar Semarang, Jawa Tengah, Selasa lalu, lapor akhbar Jakarta Globe.

Detektif polis, Encik Royhardi Siahaan, berkata Syekh Puji yang mengendalikan pesantren Miftahul Jannah dinamakan secara rasmi sebagai suspek jenayah Selasa lalu, menyusuli soal-siasat selama beberapa hari.

Polis mengesahkan Syekh Puji, seorang ahli perniagaan yang kaya, telah mengahwini Lutfiana Ulfa dalam satu majlis pernikahan pada 8 Ogos 2008 di rumahnya di daerah Jambu.

'Kami telah mengumpul cukup bukti untuk mendakwa beliau di bawah Kanun Jenayah,' kata Encik Siahaan.

Menurutnya, Syekh Puji boleh dikenakan hukuman sehingga 15 tahun penjara kerana berkahwin dengan gadis di bawah umur 16 tahun.

'Menurut undang-undang, seseorang yang hendak mengahwini gadis di bawah umur 16 tahun memerlukan kebenaran ibu bapanya. Dalam kes ini Mahkamah Syariah juga menolak permintaan Syekh Puji untuk mengahwini gadis tersebut,' kata ketua polis Semarang, Encik Edward Syah Pernong, seperti ditukil akhbar Jakarta Post semalam.

Syekh Puji berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana beliau akan menunggu sehingga Ulfa baligh baru melakukan hubungan suami isteri.

Perkahwinan Syekh Puji dengan Ulfa, Ogos tahun lepas dan pengumuman beliau hendak berkahwin dua lagi gadis berusia tujuh dan sembilan tahun telah mencetus kemarahan banyak pihak di Indonesia.

Ini termasuk Menteri Ehwal Agama, Encik Maftuh Basuni, kumpulan hak asasi kanak-kanak dan Majlis Ulema Indonesia (MUI).

'Ini jelas satu pencabulan seks terhadap kanak-kanak,' kata Arist Merdeka Sirait, setiausaha agung Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Kanak-Kanak.

'Kita bukan lagi hidup di Zaman Batu. Kita perlu melindungi anak- anak kita daripada perlakuan serupa ini,' tegas beliau. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini