Pages

Thursday, March 19, 2009

RAHSIA 'KASINO RIMBA' TERBONGKAR

Singapura: SIAPA sangka, di sebalik semak-samun berdekatan Punggol Port Road tersembunyi sebuah tempat perjudian.

Namun, rahsia adanya 'kasino rimba' ini terbongkar apabila seorang pemancing memaklumkan kewujudannya kepada akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily News, yang melaporkannya semalam.

Menurut akhbar tersebut, pemancing itu sering ternampak aktiviti yang meragukan di kawasan semak-samun itu semasa dalam perjalanan ke tempat memancing berhampiran kawasan tersebut sejak tiga minggu lalu.

Pemancing yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Zhong, 45 tahun, seorang pekerja di sektor pembinaan, berkata:

'Ia beroperasi dari 9 pagi sehingga 5 petang. Hampir setiap pagi, lebih 10 penjudi berumur antara 40-an dengan 50-an tahun dibawa masuk ke tempat perjudian itu.

Para penjudi tambahnya, dipandu oleh sekurang-kurangnya lapan pengendali - bersama-sama ketua mereka - ke pusat perjudian haram itu dengan menggunakan empat kereta dan sebuah van.

'Mereka (para penjudi) sering bermain pakau dan taruhan mereka boleh mencecah sehingga $1,000.'

Penjudi-penjudi ini dipercayai individu mewah dan disyaki mempunyai kaitan dengan pengendali tempat perjudian haram itu kerana orang luar dilarang masuk ke kawasan tersebut.

Khemah-khemah dan tandas sementara disediakan kepada penjudi-penjudi ini yang dilayan dengan baik oleh operator-operator di situ.

Malah, kipas angin turut disediakan

Dipercayai, ketua operator 'kasino rimba' itu memandu sebuah kereta BMW - hasil daripada keuntungan membuka tempat perjudian tersebut.

No comments:

Posting Terkini