Pages

Thursday, March 19, 2009

SEWA PEJABAT DI S'PURA KETIGA TERTINGGI DI ASIA-PASIFIK

SINGAPURA kekal sebagai bandar ketiga paling mahal di Asia-Pasifik dari segi sewa pejabat tahun lalu di sebalik kemelesetan ekonomi yang semakin memburuk.

Di peringkat sejagat, Singapura muncul sebagai bandar keenam yang paling mahal di dunia bagi kadar sewa pejabat.

Ini berdasarkan dapatan terkini firma hartanah, Colliers International, yang meninjau prestasi 172 bandar di serata dunia pada tahun lalu .

Menurut Colliers, sewa kasar tahunan pejabat di Singapura telah merosot 22 peratus kepada AS$97 ($145) bagi setiap kaki persegi (psf) dalam enam bulan kedua tahun lalu berbanding enam bulan pertama 2008.

'Namun, Singapura kekal sebagai bandar ketiga dengan sewa paling tinggi di kalangan bandar- bandar Asia-Pasifik.

'Dalam perbandingan sejagat pula, Singapura adalah bandar keenam yang paling mahal di dunia bagi kos sewa bangunan pejabat,' ujar tinjauan itu.

Hongkong mendahului senarai bandar dengan sewa pejabat paling tinggi di dunia apabila sewa kasar bagi ruang pejabat gred A mencapai AS$177.86 psf, dikuti dengan Moscow AS$139.41 dan Tokyo pada AS$128.40.

Pengarah Kajian dan Penasihat di Colliers, Cik Tay Huey Ying, berkata:

'Walaupun sewa pejabat gred A kawasan bandar di Singapura mencatatkan kemerosotan 22 peratus dalam separuh kedua 2008, ia tetap mengekalkan kedudukan yang tinggi dalam senarai serantau dan global. Ini kerana sewa pejabat di kebanyakan bandar-bandar lain juga tertekan oleh krisis kewangan global.'

Menurutnya, sembilan daripada 20 bandar-bandar di rantau Asia-Pasifik yang ditinjau mencatat kemerosotan sewa melebihi 20 peratus semasa enam bulan tempoh tinjauan itu.

Cik Tay berkata walaupun Singapura kekal sebagai bandar ketiga paling mahal di Asia- Pasifik dari segi kos penginapan pejabat, daya saing kos republik ini menunjukkan kemajuan terutama jika dibandingkan dengan bandar-bandar kewangan utama di rantau tersebut seperti Hongkong dan Tokyo.

Kadar ruang pejabat yang tidak disewa juga meningkat 1.4 peratusan mata kepada 8.9 peratus dalam enam bulan kedua tahun lalu apabila permintaan bagi pejabat bertambah perlahan.

Colliers meramalkan permintaan bagi ruang pejabat akan merosot lagi tahun ini sejajar dengan penguncupan ekonomi.

Ia berkata, keadaan juga akan diburukkan lagi dengan bekalan berlebihan pejabat baru yang siap tahun ini.

No comments:

Posting Terkini