Pages

Wednesday, January 28, 2009

Buku Menteri Malaysia Dokumen Sejarah Bermakna

PUTRAJAYA, 27 Jan-- Buku Menteri-Menteri Malaysia 1955-2008 bakal menjadi satu dokumen sejarah yang bermakna dan berharga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata buku itu wajar dijadikan rujukan pemimpin negara dan rakyat untuk mengenang jasa dan pengorbanan kesemua tokoh berkenaan.

"Barisan Jemaah Menteri merupakan tonggak utama kepimpinan dan pentadbiran negara. Setiap satu daripada kumpulan yang istimewa ini telahpun menggerakkan peranan mereka sebagai penggubal dasar, pemimpin masyarakat serta pejuang negara.

"Amatlah wajar sekali untuk setiap pengorbanan, jasa serta sumbangan mereka dibukukan untuk tatapan generasi masa hadapan," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku itu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa malam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Buku itu yang diterbitkan oleh Koperasi Belia Nasional Berhad (KOBENA) memaparkan senarai penuh, keterangan dan kenangan perkhidmatan 117 bekas menteri kabinet sejak dari tahun pramerdeka 1995 hingga awal 2008.

Ia dipaparkan menerusi pendekatan secara akademik dengan turutan nama menurut abjad dan dilengkapi dengan elemen sejarah di dalam bentuk biografi.

Buku itu dihasilkan oleh panel penulis daripada Universiti Malaya yang diketuai bekas menteri pelancongan, Tan Sri Sabaruddin Chik.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini