Pages

Wednesday, January 28, 2009

Tumpu Kerja Daripada Layani Komentar Lawan

JAKARTA, 27 Jan-- Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) memilih untuk menumpukan perhatian menjalankan kerja sehingga akhir masa pemerintahannya daripada melayani pelbagai komen daripada saingan dan lawan politiknya dalam menghadapi pilihan raya umum April ini dan pemilihan presiden Julai 2009.

Jurucakap presiden Andi Mallarangeng ketika mengiringi Susilo dalam lawatan kerja di Surabaya berkata pada pemilihan presiden tahun 2004 saingan politik Susilo juga pernah menganggap beliau keanak-anakan dan kini bekas presiden Megawati pula menyebut pemerintahan Susilo seperti menjadikan rakyat Indonesia permainan yoyo.

"Tahun 2004 Pak Taufik Kiemas (suami Megawati) juga pernah bilang SBY seperti jenderal yang keanak-anakan. Sekarang Ibu Mega mengatakan seperti permainan yoyo. Jurus-jurus seperti ini tahun 2004 tidak laku, sekarang juga tidak," kata Andi dipetik agensi berita Antara di Surabaya, pada Selasa.

Namun, Andi mengakui memang ada hal-hal yang naik dan turun sebagaimana permainan yoyo sepanjang empat tahun masa pemerintahan Presiden Susilo.

Beliau memberi contoh hal-hal yang naik antara lain bajet pendidikan, pendapatan per kapita dan produksi beras sedangkan yang turun di antaranya harga bahan bakar minyak, tarif elektrik, tambang pengangkutan awam, jumlah pengangguran dan nisbah hutang luar negara.

"Seharusnya kalau ada yang turun seperti itu jangan ada yang marah," kata Andi, yang menjelaskan bahawa keputusan pemerintah menurunkan harga bahan bakar minyak hingga tiga kali adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat.

Sebelumnya, Ketua Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Megawati Soekarnoputri berkata pemerintah mempermainkan rakyat dengan tawaran yang kelihatannya indah.

"Pemerintah telah menjadikan rakyat seperti permainan anak-anak iaitu yoyo yang terlempar ke sana ke mari. Kelihatannya indah, tetapi pada dasarnya membuat rakyat tak menentu hidupnya," kata Megawati pada mesyuarat partinya di Solo, Jawa Tengah.

Megawati, yang akan bertanding untuk kerusi presiden Indonesia sekali lagi tahun ini, berkata pemerintahan Susilo gagal mengendalikan harga barang keperluan asas rakyat dan penurunan harga minyak dibuat hanya untuk menarik simpati rakyat serta bukan untuk meningkatkan daya beli dan kesejahteraan mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini