Pages

Saturday, November 15, 2008

JOHOR AMBIL ALIH LOJI AIR YANG DIURUS PUB 2011

KOTA TINGGI: Dua loji di Johor yang diuruskan oleh syarikat milik Singapura akan diserahkan semula kepada kerajaan negeri apabila Perjanjian 1961 mengenai pembekalan air mentah ke negara jiran itu tamat pada 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Encik Tan Kok Hong, berkata penyerahan itu adalah berdasarkan perjanjian kerana urusan bekalan air terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

'Kerajaan negeri akan memperincikan proses penyerahan loji itu kerana apabila tiba tahun 2011, maka loji-loji itu akan diserahkan semula kepada Johor,' katanya pada sidang akhbar kelmarin.

Johor mempunyai 42 loji rawatan air dengan dua daripadanya iaitu Loji Sungai Skudai dan Loji Sungai Johor diuruskan oleh syarikat milik Singapura, Lembaga Perbekalan Awam (PUB).

Selain PUB, tiga lagi pengendali loji adalah syarikat tempatan dengan majoritinya iaitu 26 loji diuruskan oleh Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd.

Berdasarkan Perjanjian 1961 Singapura boleh mendapat 80 juta gelen air sehari dari kawasan tadahan Pulai, Sungai Tebrau dan Sungai Skudai di Johor hingga 31 Ogos 2011.

Kedua-dua negara mempunyai satu lagi perjanjian iaitu Perjanjian 1962 yang membenarkan Singapura mendapatkan 50 juta gelen sehari dari Sungai Johor hingga 28 September 2061.

Encik Tan berkata, proses penyerahan tersebut akan berjalan mengikut jadual seperti dipersetujui oleh kedua-dua negara.

'Bagaimanapun, dalam urusan ini kerajaan negeri menyerahkan kepada Wisma Putra dengan kerajaan Singapura kerana ia adalah hal kerajaan dengan kerajaan,' katanya.

Menurutnya, Johor tidak bercadang untuk membuka loji baru kerana kemudahan sedia ada mencukupi untuk keperluan semasa. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini