Pages

Friday, September 26, 2008

Shahrizat pertahan jawatan

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan naib ketua Wanita UMNO walaupun mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan ketua pada pemilihan parti itu Disember ini.

Sejajar dengan itu, beliau meminta bahagian-bahagian UMNO supaya tidak mencalonkannya untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu.

Beliau juga menolak desas-desus kononnya akan mencabar Tan Sri Rafidah Aziz sebaliknya menegaskan untuk tidak bertanding jawatan ketua Wanita walaupun mendapat pencalonan yang mencukupi daripada bahagian-bahagian UMNO.

“Ya saya tidak akan bertanding (jawatan ketua) walaupun ada cukup pencalonan. Saya nak jelaskan tolong jangan calonkan saya untuk jawatan itu. Saya berpegang kepada kata-kata saya.

“Hari ini kita semua (Exco) setuju dengan pelan peralihan tersebut. Saya menerima cadangan ketua saya untuk pelan peralihan jawatan seperti yang dicadangkan beliau pada 4 Ogos lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas Wanita UMNO di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shahrizat meminta bahagian-bahagian UMNO yang bersidang nanti supaya menerima keputusan yang telah dipersetujui semua Exco Wanita dalam mesyuarat itu serta pelan peralihan jawatan antara beliau dan Rafidah.

“Saya buat keputusan ini kerana saya amat menghormati Rafidah secara peribadi dan kepimpinan beliau sebab sudah sekian lama beliau menerajui Wanita dengan baik.

“Jadi, menjadi tanggungjawab saya sebagai ahli UMNO untuk menentukan apa juga tindakan atau keputusan yang dibuat, saya mesti meletakkan parti dan negara terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk pertandingan bagi jawatan tersebut sudah semestinya akan melemahkan Wanita UMNO daripada peringkat atas sehinggalah ke akar umbi apabila mereka terpaksa membuat pilihan.

“Apa yang kita mahu adalah menentukan Wanita mantap, ada perpaduan sebab kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran hari ini jadi perlu ada kepimpinan Wanita yang teguh dan bersatu suara.

“Saya percaya ini akan dapat kita capai jika tidak ada pertandingan untuk ketua dan insya-Allah untuk naib ketua juga,” katanya.

Beliau percaya dan yakin keputusan itu akan dapat diterima baik oleh ahli Wanita UMNO di semua peringkat.

Ditanya sama ada keputusannya itu akan mengecewakan sesetengah ahli Wanita yang berharap beliau bertanding jawatan ketua, Shahrizat berkata, walau apa pun keputusan yang dibuat ia adalah untuk kebaikan pergerakan itu dan parti.

“Saya percaya bahawa mereka akan menerima pelan ini dengan ikhlas sebab pada akhirnya sudah tentu mereka mahu UMNO stabil dan kukuh,” katanya.

No comments:

Posting Terkini