Pages

Wednesday, September 24, 2008

SEBELUM MEMECUT MERANGKAK DULU

(Cyberita) HARI pertama penutupan jalan-jalan raya utama bagi memberi laluan kepada kerja-kerja memasang prasarana perlumbaan Formula Satu (F1) hujung minggu ini mengakibatkan lalu lintas merangkak di kawasan itu pada waktu sibuk semalam.

Mereka yang bekerja di situ dan di kawasan berhampiran mengadu terperangkap lebih sejam di beberapa jalan raya seperti Nicoll Highway, Rochor Road dan Bras Basah Road.

Encik Zulkifli Junaidi, yang menghantar isterinya ke tempat kerja di kawasan Suntec City menggunakan Nicoll Highway, berkata isterinya akan menaiki MRT mulai hari ini untuk ke pejabat.

'Kira-kira satu jam kereta saya merangkak, hanya untuk memasuki kawasan Suntec. Selalunya, hanya sekitar 15 minit,' keluh beliau.

Beberapa jalan raya kecil di kawasan Pusat Marina termasuk Coleman Street, Colombo Court dan Parliament Place sudah mula ditutup mulai Sabtu lepas.

Namun, jalan raya utama, Nicoll Highway, Esplanade Drive, Raffles Avenue dan Republic Boulevard mula terjejas dengan penutupan semalam, kecuali pada waktu sibuk sebelah pagi apabila Nicoll Highway menghala ke Shenton Way dan jalan raya antara Republic Avenue dan Raffles Avenue akan dibuka.

Jalan raya tersebut akan terus ditutup selepas perlumbaan sehingga Khamis depan.

Sementara itu, penumpang yang memanfaatkan perkhidmatan bas percuma yang disediakan juga mengalami nasib yang serupa.

Berita Harian (BH) difahamkan, ramai penumpang yang turun daripada bas dan berjalan kaki untuk ke tempat kerja.

Pegawai IT, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Sham, berkata berdasarkan kesesakan semalam, beliau merancang mengambil cuti.

'Masalahnya, selepas perlumbaan F1, jalan raya akan tetap ditutup sehingga hari Khamis.

'Jadi tidak banyak yang boleh kami lakukan kecuali bersabar,' ujar beliau.

Namun, kesesakan jalan raya ataupun tidak, yang pasti 'demam' F1 kian mula mencengkam hampir segenap lapisan penduduk kota Singa ini, termasuk para peniaga.

Daripada jenama-jenama sukan dan jenama mewah yang memang sering dikaitkan dengan F1, hinggalah rangkaian pasar raya seperti Carrefour dan Cold Storage serta gedung fesyen seperti Giordano dan Bossini.

Para pemandu F1 juga sudah mula tiba di Singapura dan muncul di beberapa acara promosi.

Antara mereka termasuk pemandu pasukan McLaren-Mercedes- Lewis Hamilton; pasukan Williams, Nico Rosberg, yang muncul di acara promosi jam tangan Oris di Millenia Walk petang semalam.

No comments:

Posting Terkini