Pages

Thursday, September 25, 2008

RINGKAS MALAYSIA

Pegawai Kebudayaan gagal dapat balik kerja

PUTRAJAYA 25 Sept. - Mahkamah Rayuan mengisytiharkan pemecatan seorang Penolong Pegawai Kebudayaan kerana masalah disiplin, 15 tahun lalu adalah sah selepas menolak rayuannya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datin Paduka Zaleha Zahari memutuskan demikian terhadap Mohd. Daud Mahmood, 53, selepas berpuas hati bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan prosedur yang betul ketika memecatnya pada 2 November 1993.

Dia dipecat kerana melakukan enam kesalahan tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan termasuk datang lewat ke pejabat, meninggalkan pejabat tanpa kebenaran dan tidak hadir bertugas tanpa cuti.

Selain itu, dia juga didapati lewat menyelesaikan bayaran kepada peserta, bayaran sewa bas dan tidak mengemukakan laporan kepada majikan. - Utusan

Ops Sikap ke-17: 15 maut hari pertama

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Sebanyak 15 orang maut dengan melibatkan 1,051 kemalangan pada hari pertama Ops Sikap ke-17 yang dilancarkan serentak di seluruh negara semalam.

Menurut Penguasa Perhubungan Awam, Supritendan Rasdi Ramli, pengguna motosikal mencatat jumlah korban tertinggi iaitu sembilan orang diikuti empat pemandu kereta dan dua pejalan kaki.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau menambah, jalan bandaran pula merekodkan kes kemalangan paling banyak iaitu 474 kes diikuti jalan persekutuan sebanyak 259 kemalangan. – Utusan.

Operasi LRT kembali pulih hari ini

KUALA LUMPUR 25 Sept. — Operasi Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kembali pulih hari ini setelah kerja-kerja memindahkan kedua-dua tren yang berlanggar berhampiran Stesen LRT Bukit Jalil di sini sudah selesai malam tadi.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Rangkaian Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL), Ebi Azly Adullah berkata, perkhidmatan tren LRT Star aliran Ampang antara Sentul Timur dan Sri Petaling esok akan bermula seperti biasa pada pukul 6.30 pagi.

Dalam insiden pukul 6.30 petang semalam, dua tren berlanggar kira-kira 200 meter dari Stesen Bukit Jalil, mengakibatkan empat penumpang mengalami cedera ringan, manakala 300 lagi terselamat.

Menurut Ebi, pihaknya akan menampung semua kos perubatan kesemua penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.

Daripada empat penumpang yang mengalami kecederaan ringan yang dihantar ke pusat perubatan itu, hanya seorang wanita, Ko Thin Lau, 34, masih dirawat, dan keadaannya stabil. - Utusan

No comments:

Posting Terkini