Pages

Wednesday, October 1, 2008

'Ini bukan masa bermain politik' - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekarang bukan masanya untuk bermain politik dan membuat spekulasi ketika negara sedang memerlukan semua pihak bersatu bagi menghadapi cabaran kewangan dan ekonomi global.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mengambil tindakan dengan penuh bertangung jawab dan pantas untuk menangani sebarang kemungkinan bagi memastikan keselamatan rakyat dan kepentingan negara.

"Saya berharap semua pihak akan memahami, bekerjasama dan melakukan perkara yang sama," katanya, yang juga Menteri Kewangan pada sidang media di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada pesanan itu ditujukan kepada sesiapa secara khususnya, katanya: "Perkara itu bergantung kepada tafsiran seseorang."

Mengenai pandangan bahawa para pelabur akan mengenepikan Malaysia walau pun ekonomi pulih semula disebabkan kebimbangan politik, Najib bertanya: "Apa yang tidak dipastikan mengenai keadaan politik Malaysia? BN (Barisan Nasional) terus berkuasa."

Dalam pada itu, Najib berkata, fundamental ekonomi Malaysia berada dalam keadaan kukuh bagi mengharungi kesan buruk perkembangan ekonomi AS dan pasaran kewangan antarabangsa.

"Sistem perbankan kita hari ini berada dalam keadaan baik dan kukuh dengan mempunyai penampan untuk menghadapi kegawatan kewangan semasa," katanya.

"Infrastruktur kewangan yang telah diperkasakan dan pasaran kewangan yang matang telah meningkatkan ketahanan sistem kewangan kita bagi menghadapi kejutan luar," katanya.

Najib berkata, kecairan dalam sistem perbankan kekal mencukupi dan pembiayaan kepada sektor swasta, yang berkembang 13 peratus pada Ogos, telah terus berkembang.Sementara itu, pinjaman tidak berbayar (NPL) kini dicatatkan 2.5 peratus dan telah menurun secara tetap sejak 2003.

Kebimbangan global kian memuncak sejak Wall Street menjunam semalaman berikutan penolakan rancangan menyelamat kewangan AS$700 bilion oleh para penggubal undang-undang AS.

Kerajaan berkeyakinan terhadap institusi kewangan negara ini dan pasaran saham sedang dipantau, katanya ketika ditanya mengenai kebimbangan terbesar kerajaan.

"Hari ini, kejatuhan harga saham di Malaysia kurang ketara berbanding dengan Dow Jones, London dan sesetengah pasaran Asean.

"Kita yakin bahawa kita boleh menghadapi keadaan itu walaupun ada perkara yang membimbangkan berkaitan dengan pertumbuhan, tetapi kita yakin kita tidak akan menghadapi keadaan yang buruk berbanding dengan bahagian lain di dunia," katanya.

Sehubungan itu, katanya sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal pada kadar 5.55.7 peratus.

Bagaimanapun, jika muncul lebih banyak berita buruk dari AS dan keadaan semasa mendorong kepada kemelesetan yang ketara, kerajaan kemungkinan perlu menilai semula keadaan, katanya. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini