Pages

Wednesday, October 1, 2008

Kontraktor didakwa miliki wang palsu

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Seorang kontraktor warga Indonesia yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki empat keping wang kertas RM50 palsu, mendakwa duit itu diberi rakannya ketika membayar hutang.

Darlis Hasim, 34, didakwa memiliki wang tersebut dengan niat menggunakannya sebagai tulen pada pukul 11.30 malam, 26 September lalu di depan lot kedai 2-G-55, Wisma Rampai, Wangsa Maju di sini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara 10 tahun.

Pegawai pendakwa, Cif Inspektor R. Rukumar mencadangkan ikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia.

Ketika merayu jumlah jaminan dikurangkan, Darlis yang memegang status penduduk tetap negara ini, memberitahu bahawa isterinya kini sarat mengandung lapan bulan.

Ketika ditanya berkenaan pasport, Darlis mendakwa dokumen tersebut telah hilang 15 tahun lalu tetapi dia tidak membuat laporan polis.

Hakim S. M. Komathy Suppiah membenarkan Darlis diikat jamin seperti jumlah dimohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 30 Oktober ini.

No comments:

Posting Terkini