Pages

Sunday, August 21, 2011

Indonesia akan perkenal aturan hadkan garam



JAKARTA: Bimbang dengan meningkatnya angka kematian akibat penyakit tidak berjangkit, Kementerian Kesihatan Indonesia sedang menyiapkan peraturan bagi mengehadkan pengambilan garam.

Sasaran awal dasar itu ialah mengurangkan penyakit seperti angin ahmar dan darah tinggi yang banyak dialami penduduk.

Peraturan Menteri Kesihatan berhubung perkara itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya awal tahun depan dan ia akan disusuli dengan peraturan bagi mengehadkan pengambilan gula dan lemak.


Ketua Pengarah Pengendalian Penyakit dan Kesihatan Persekitaran di Kementerian Kesihatan, Encik Tjandra Yoga Aditama, dipetik harian Kompas semalam sebagai berkata peraturan itu akan ditujukan kepada restoran makanan segera atau restoran francais kerana ia lebih mudah dikawal berbanding warung biasa.

Encik Tjandra berkata pihaknya sedang menyusun formula sukatan tepat bagi mengehadkan pengambilan garam kerana pada masa ini pengambilan garam oleh masyarakat Indonesia lebih tinggi berbanding mereka di negara lain di Asia Tenggara.

Di Amerika pengambilan garam ialah sembilan hingga 12 gram sehari.

Namun, beberapa pertubuhan kesihatan menyarankan pengambilan garam lebih sesuai pada kadar lima hingga enam gram sehari.

Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit, Encik Ekowati Rahajeng, yang bertanggungjawab menyiapkan peraturan itu, berkata tujuan utama mengehadkan pengambilan garam ialah untuk mengurangkan pengambilan natrium.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Cik Endang Rahayu Sedyaningsih, ditukil sebagai berkata angka kematian akibat penyakit tidak berjangkit di Indonesia meningkat daripada 41.7 peratus pada 1995 kepada 49.9 peratus (2001) dan kemudian 59.5 peratus (2007).

Penyakit penyebab kematian tertinggi ialah angin ahmar (15.4 peratus) disusuli darah tinggi, kencing manis dan barah.Peningkatan kes penyakit banyak didorong oleh gaya hidup tidak sihat seperti merokok, pola makan yang salah dan kurang kegiatan fizikal, kata Cik Endang. -- Agensi.



No comments:

Posting Terkini