Monday, August 22, 2011
Mati dipanah petir dipercayai ketika guna telefon bimbit
TANAH MERAH (Kelantan): Seorang remaja perempuan maut akibat dipanah petir, dipercayai ketika menggunakan telefon bimbit milik ibunya di sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada 5.50 petang itu, mangsa, Siti Munirah Nordin, 13 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di sebelah kanan muka, telinga, kepala dan punggungnya.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bercakap dengan seseorang menggunakan telefon tersebut ketika cuaca agak redup dan petir sedang berbunyi.
Remaja berkenaan hanya ditemui oleh abangnya, Mohd Firdaus, 16 tahun, sudah meninggal dunia di bangsal sekitar 9 malam.
Ahli keluarga mencarinya setelah Siti Munirah tidak pulang ke rumah berbuka puasa sejak keluar pada 4.30 petang.
Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Cik Rosnah Dollah, 49 tahun, berkata pada mulanya beliau menyangka anaknya berbuka puasa di rumah rakannya yang berhampiran rumah.
Namun, beliau terkejut apabila mendapat tahu anaknya tidak ke situ.
'Sebelum kejadian, dia ada bercakap menggunakan telefon bimbit saya dalam rumah. Kemudian saya menegurnya menyebabkan dia keluar dari rumah.
'Saya beritahu dia masih bersekolah dan tidak patut berbual lama-lama di telefon. Saya tidak tahu pula dengan siapa dia berbual,' katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Manal hari ini.
Tambahnya, setelah mencarinya merata-rata dan bertanyakan kawannya, beliau kemudian mencari anak keenam daripada tujuh beradik itu di bangsal tersebut.
'Saya teringat mencari di situ kerana pernah ternampak dia dan kawannya duduk di bangsal sambil bercakap menggunakan telefon bimbit sehari sebelum kejadian,' katanya.
Cik Rosnah merupakan seorang ibu tunggal setelah kematian suami lima tahun lalu akibat kencing manis.
Beliau kini menyara tujuh orang anak dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 ($10) sehari. -- Mingguan Malaysia.
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment