Pages

Tuesday, July 27, 2010

Anugerah Diraja Kewangan Islam

PUSAT Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) di Malaysia telah mengetuai satu inisiatif untuk mengiktiraf seorang individu yang telah memberikan sumbangan besar kepada kemajuan kewangan Islam di peringkat sejagat.

Di bawah saranan kerajaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berkenan untuk menganugerahkan pengiktirafan yang dipanggil Anugerah Diraja Bagi Kewangan Islam pada 25 Oktober ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif MIFC, Tan Sri Datuk Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata:

'Kewangan Islam semakin menjadi salah satu segmen kewangan antarabangsa yang paling pesat berkembang. Oleh itu, inilah masanya bagi Malaysia mengiktiraf individu yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan kewangan Islam.'

Proses pemilihan pemenang anugerah itu akan dijalankan oleh panel juri antarabangsa bebas yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Yayasan Forum Kewangan Islam Sedunia.

Tujuh orang juri telah dilantik.

Mereka terdiri daripada tokoh terkemuka cendekiawan syariah, ahli akademik dan pengamal kewangan Islam dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

Antaranya termasuk Profesor Dr Volker Niehaus, mantan Presiden Universiti of Marburg dari Jerman; Profesor Dr Abbas Mirakhor, mantan Pengarah Eksekutif Dana Kewangan Antarabangsa (IMF); Dr Mohamed Ali Elgari, Profesor Ekonomi Islam, Universiti King Abdul Aziz dari Arab Saudi; Encik A. Riawan Amin, Pengerusi Persatuan Bank-bank Islam Indonesia; serta Dr Yahia Abdul Rahman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lariba Bank of Whittier, Amerika.



No comments:

Posting Terkini