Pages

Wednesday, June 15, 2011

‘Jangan salahkan remaja yang melepak’

KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Umno, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin tidak menyalahkan golongan muda-mudi yang melepak di kawasan kompleks membeli belah di sekitar kota raya Kuala Lumpur kerana mereka tidak ada alternatif.
“Bukit Bintang ialah kawasan tumpuan orang ramai. Sepatutnya, aktiviti perlu digalakkan di kawasan lain kerana Bukit Bintang hanya merupakan tempat transit,” kata Tengku Azman ketika ditanya mengenai pendekatan SHEB terhadap remaja melepak di sekitar Bukit Bintang.

“Orang muda yang melepak ada dua jenis. Yang berduit ke disko, yang tidak (berduit) di kompleks beli belah,” jelas Tengku Azman yang juga merupakan exco Pemuda Umno.
Beliau mengambil contoh pusat komuniti masyarakat Cina yang menyediakan berbagai kemudahan untuk semua lapisan umur berinteraksi sesama mereka.
Oleh yang demikian beliau menggesa kerajaan untuk meneliti isu ini dan memperbanyak tempat-tempat riadah.
“Jika saya ada peruntukan saya akan galakkan pembinaan gelanggang bola keranjang,” kata beliau ketika ditemui semalam di kawasan
Masjid India sebelum menjalankan aktiviti memberi makanan kepada golongan miskin.
Beliau turut mengkritik Kementerian Belia dan Sukan kerana masih menggunakan pendekatan lama.
“Kementerian sepatutnya mewujud dan membenarkan menguruskan pusat belia. Pukul 10 malam pusat belia dikunci tapi ramai tak tidur waktu itu.”
Beliau turut ditanya berkenaan rancangan Rumah Pertamaku yang membolehkan orang muda di bawah 35 tahun dan berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan membeli rumah berharga RM220,000 ke bawah.
“Saya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan umumkan mekanisme untuk membolehkan warga kota, terutama golongan muda memiliki rumah. Saya rasa kerajaan akan sediakan tanah,” jelas beliau.

No comments:

Posting Terkini