Pages

Thursday, September 10, 2009

Kartika bukan pertama dihukum

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, kes melibatkan hukuman sebat yang dikenakan ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor bukanlah yang pertama berlaku di negara ini.

Menurutnya, sebelum ini hukuman sebatan syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan Mahkamah Syariah Johor pada 2000, tetapi ia tidak dilaksanakan setelah rayuan dibuat pesalah.

“Beliau (Kartika) juga bukanlah orang pertama disebat atas kesalahan minum arak, sebelum ini di Kelantan seramai enam lelaki pernah disebat iaitu pada 1997 membabitkan empat orang, manakala 2001 dan 2003 masing-masing seorang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Kartika Sari Dewi yang sepatutnya menjalani hukuman sebat di Penjara Kajang baru-baru ini, dimaklumkan terpaksa ditangguhkan atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus kerana menghormati kemuliaan Ramadan.

Model yang mempunyai seorang anak itu dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah minum arak di pusat hiburan Cherating, dua tahun lalu.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, Hakim Datuk Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman atas Kartika juga pernah menjatuhkan hukuman yang sama beberapa tahun lalu ke atas dua beradik yang melakukan kesalahan sama.

Menurutnya, tohmahan kononnya Kartika dijadikan sasaran untuk disebat adalah fitnah besar terhadap institusi agama, kerana sudah terdapat banyak individu yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian sebelum ini.

Nasrudin turut menyangkal kenyataan sesetengah pemimpin kerajaan yang mendakwa negara ini tidak mempunyai kepakaran dalam melakukan hukuman tersebut.

No comments:

Posting Terkini