Pages

Friday, June 10, 2011

Dewan Ulama sokong PAS bertanding kerusi bandar

PETALING JAYA: Dewan Ulama menyokong untuk meletakkan calon parti itu bertanding di kawasan campuran di kawan bandar dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.
Naib Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfoz Mohamad berkata, kerusi majoriti Melayu bukan lagi aset kepada PAS.
Dalam Pakatan Rakyat kerusi campuran ditandingi oleh PKR, kerusi majoriti Cina oleh calon DAP, manakala kawasan majoriti Melayu oleh calon PAS.

“PAS sukar menang bertanding di kawasan luar bandar, jadi boleh mencuba bertanding di kawasan bandar yang pengundinya bercampur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam dalam satu temuramah, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu telah mencadangkan PAS bertanding di kawasan bandar supaya parti menjadi lebih nasional.
Sementara itu, pesuruhjaya PAS Johor itu menegaskan Dewan Ulama masih  berpengaruh dalam PAS walaupun tidak ramai ulama menduduki jawatan utama parti.
Beliau menegaskan kekurangan ulama dalam kepimpinan tertinggi PAS bukan menandakan ahli menolak ulama.
Calon Ulama tidak ramai
“Apa yang berlaku ialah, calon ulama yang bertanding tidak ramai berbanding Pemuda, Muslimah dan yang lain.
“Hanya beberapa orang daripada 58 calon yang bertanding jawatan AJK. Harus diingat calon ulama pula sudah tua-tua pula.
“Saya tidak nampak ulama dipinggirkan,  diketepikan. Perwakilan memilih calon yang muda yang bekerja kuat seperti Mazlan Aliman yang mendapat tempat teratas bagi jawatan AJK PAS Pusat.
“Dewan Ulama menerima keputusan pewakilan memilih pucuk pimpinan parti dalam muktamar ke 57 ini ,” katanya.
Dr Mahfoz juga menegaskan tidak ada masalah yang berlaku antara kumpulan ulama dan golongan profesional yang menang lebih banyak jawatan kali ini.
Katanya, dalam amalan demokrasi adalah satu kemestian menyokong pihak yang mendapat sokongan majoriti.



No comments:

Posting Terkini