Pages

Friday, June 10, 2011

Sarawak kekurangan guru dan kelas pelajar disleksia

KUCHING: Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) perlu memperluaskan lagi Program Disleksia memandangkan kini hanya terdapat empat buah sekolah yang menjalankan program berkenaan di Sarawak.
Menteri Di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah berkata, sekolah-sekolah yang menawarkan pembelajaran untuk pelajar disleksia ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya dan SK Laksamana di Kuching, SK Bandaran Sibu No. 2 di Sibu serta SK Sungai Kapit di Kapit.

Beliau berkata, jumlah guru disleksia di sekolah-sekolah berkenaan juga agak terhad iaitu hanya seramai empat orang dengan dibantu oleh guru pendidikan khas di sekolah sama.
“Guru-guru yang mengajar Kelas Disleksia adalah dari kalangan guru terlatih disamping diberi latihan atau pendedahan yang lebih khusus lagi dalam bidang disleksia.
“Namun kebelakangan ini, statistik menunjukkan peningkatan bilangan murid disleksia dalam Program Pendidikan Khas Integrasi yang memerlukan lebih banyak perluasan program,” katanya ketika merasmikan Literacy Camp 2011 anjuran Persatuan Disleksia Sarawak di sini.
Fatimah menambah, kebelakangan ini statistik menunjukkan bilangan murid disleksia dalam Program Pendidikan Khas Integrasi memerlukan lebih banyak perluasan program.
Selain menambah bilangan tenaga pengajar dalam program berkenaan, JPNS perlu mewujud dan meningkatkan lagi kerjasama dengan Persatuan Disleksia melalui penyediaan pakar-pakar berpengalaman lagi terlatih.
“Usaha perlu dilakukan secara berterusan melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mengenal pasti kaedah- kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini berkaitan dengan disleksia agar mutu dan kualiti dapat ditingkatkan dan seterusnya dijadikan penanda aras,” jelasnya.
Dalam pada itu, ibu bapa digalak membuat pengesanan awal terhadap anak-anak yang cenderung menunjukkan ciri-ciri disleksia.
“Daftarkan anak-anak yang telah disahkan oleh pegawai perubatan dengan Persatuan Disleksia,” katanya sambil menyarankan ibu bapa agar bersikap proaktif dalam meneruskan program pemulihan disleksia di rumah melalui program yang telah dirancang bersama.
Sementara itu, seramai 30 peserta menyertai Program Literacy Camp 2011 yang berlangsung di Learning and Resource Centre Dyslexia Association of Sarawak di Banglo Kalaka di sini bermula 9 hingga 11 Jun ini. Hadir sama, Presiden Persatuan Disleksia Sarawak, Dr Ong Puay Hoon.



No comments:

Posting Terkini