Pages

Monday, April 18, 2011

Clinton ikrar sokongan kepada Jepun



MEMBERI SOKONGAN: Cik Clinton semalam mengadakan pertemuan dengan Encik Matsumoto di Tokyo bagi membincangkan krisis nuklear dan bencana alam yang melanda Jepun. -- Foto REUTERS

TOKYO: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, semalam menjanjikan sokongan kepada sekutu rapat Jepun yang sedang menangani krisis nuklear dan bencana alam.

Dalam pada itu, pengendali loji nuklear Fukushima Dai-ichi, Tokyo Electric Power Co (Tepco), mengumumkan harapannya agar dapat mengurangkan kebocoran radiasi dalam tempoh tiga bulan.


Krisis nuklear itu kemudian diharapkan dapat dikawal dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

'Kami sangat yakin Jepun dalam beberapa bulan mendatang akan terus mempamerkan semangat tidak mudah luntur yang kita telah lihat sepanjang krisis ini.

'Kami akan melakukan apa yang termampu untuk menyokong anda melalui ujian ini. Dan kami tahu anda akan bangkit dengan lebih bersemangat,' kata Cik Clinton kepada wartawan selepas bertemu dengan Menteri Luar Jepun, Encik Takeaki Matsumoto, di sini.

Dalam pertemuan semalam, Cik Clinton dan Encik Matsumoto turut mengumumkan penubuhan satu kerjasama melibatkan sektor awam dan swasta untuk menggalakkan pelaburan dalam usaha membangunkan semula kawasan yang terjejas ekoran gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu itu.

Cik Clinton turut dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Naoto Kan, sebelum berlepas pulang ke Amerika lewat semalam.

Sekitar setahun lalu, bantahan ekoran kewujudan pangkalan Amerika di Jepun telah menyebabkan perdana menteri Jepun ketika itu, Encik Yukio Hatoyama, meletak jawatan.

Kini, kehadiran sekitar 20,000 askar Amerika yang dikerahkan dalam misi bantuan kemanusiaan terbesar oleh negara itu di Jepun, disambut dengan tangan terbuka.

Amerika juga sedang membantu Jepun menangani krisis nuklearnya.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar berasingan, pengerusi Tepco, Encik Tsunehisa Katsumata, berkata pihaknya telah melakarkan jadual waktu bagi menamatkan krisis nuklear di loji itu.

'Kami secara ikhlas meminta maaf kerana menimbulkan masalah ini. Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan krisis ini daripada bertambah buruk,' kata Encik Katsumata.

Encik Katsumata berkata dalam tiga bulan pertama, pihaknya berhadap dapat mengurangkan secara bertahap-tahap kadar kebocoran radiasi.

'Kami ingin melihat para penduduk kembali semula ke rumah masing-masing secepat mungkin,' katanya.

Naib Presiden Tepco, Encik Sakae Muto, pula berkata syarikatnya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membersihkan pencemaran radiasi di kawasan- kawasan yang terjejas. -- AFP, AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini