Analisa ; Ditulis oleh Wira Arjuna
SHAH ALAM 17 APRIL : Pilihanraya negeri Sarawak yang berakhir semalam memberi petanda paling jelas bahawa sistem politik dua parti di Semenanjung sudah sampai ke Sarawak secara dinamis, sekali gus mengubah lanskap negeri itu, mungkin buat selama-lamanya.
Walaupun mengekalkan majoriti dua pertiga, Barisan Nasional (BN) pimpinan Taib Mahmud bukan sahaja hilang 16 kerusi, tetapi juga sokongan pengundi Cina di kawasan bandar manakala semakin ramai pengundi Iban dan Dayak condong kepada Parti Keadilan Rakyat.
Dalam erti kata lain, kemenangan paling nyata untuk PR dalam PRN Sarawak adalah gagasan itu kini bertapak kukuh di Bumi Kenyalang ketika negeri itu melalui proses peralihan kepimpinan.
Persoalan yang tinggal adalah bukan sama ada tetapi bila Abdul Taib Mahmud akan berundur setelah 30 tahun menerajui negeri ini dan siapa yang akan menggantinya.
Kekalahan 40 daripada 41 calon bebas dan fakta semua 26 calon SNAP tewas teruk manakala gandingan DAP, PKR dan PAS membuahkan 15 kerusi menunjukkan rakyat Sarawak bersedia menerima parti politik kebangsaan untuk membela mereka.
Modal lama kononnya parti Semenanjung hanya datang untuk menjajah orang Sarawak ditolak, bukan sahaja di bandar, tetapi juga di kawasan-kawasan terpencil seperti Krian dan Ba'kelalan.
Justeru itu kali ini, DAP dan PKR Berjaya menambah dua kali ganda jumlah kerusi yang diperolehi.
Enam kerusi DAP pada tahun 2006 bertambah kepada 12 manakala PKR dari satu menokok kepada tiga.
Sebenarnya jika diperinci, PKR telah memulakan PRN Sarawak kali ini tanpa sebarang kerusi, kerana telah menyerahkan kerusi Padungan yang dimenangi pada tahun 2006 kepada DAP.
Justeru itu, kesemua tiga kerusi di Batu Lintang, Krian dan Bakelalan adalah kerusi baru yang dimenangi oleh PKR.
Taktik SNAP untuk memaksa pertandingan tiga penjuru, seperti yang dijangka memberi kelebihan kepada BN di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PKR di kawasan pedalaman.
Begitu juga kehadiran calon-calon persendirian yang menjadi kebiasaan dalam PRN Sarawak, bertujuan untuk memastikan BN tidak berdepan dengan PKR dalam satu lawan satu.
Keputusan PRN menunjukkkan bahawa di banyak kerusi, jika pertandingan satu lawan satu di antara PKR dan BN menjadi kenyataan, pemerintah, meskipun dengan kelebihan wang dan kemudahan pengangkutan, belum tentu menang selesa di kawalan pedalaman.
Hakikat bahawa calon-calon Snap dan bebas hanya memperolehi ratusan undi menunjukkan sebilangan besar daripada mereka dibiayai oleh dalang-dalang tertentu.
Tujuannya bukan untuk menumbangkan BN tetapi untuk memastikan kemenangan pemerintah dalam apa cara sekali pun.
Hanya seorang calon bebas, George Ak Lagong menang kerusi Pelagus, manakala 36 calon bebas dan 23 calon Snap hilang deposit mereka menunjukkan rakyat Sarawak semakin menerima PKR dan gandingan Pakatan Rakyat dalam mencorakkan masa depan mereka.
Secara keseluruhan trend pengundi menunjukkan mereka tidak lagi percaya kepada Snap dan semakin menerima perjuangan Pakatan Rakyat.
Sudah tentu, DAP, PKR dan PAS akan menggunakan kemenangan Pakatan Rakyat semalam untuk membina asas yang lebih kukuh bagi meningkatkan kepercayaan rakyat Sarawak.
Undi popular BN keseluruhannya dalam PRN kali ini adalah 372,379 undi atau 55.36 peratus, menyusut daripada 62.91 peratus lima tahun lalu dan 71.16 peratus pada tahun 2001.
Pakatan Rakyat mendapat undi popular 300,288 undi atau 44.64 peratus, isyarat jelas bahawa simpanan tetap BN sudah tidak lagi pertaruhan mutlak untuk terus memerintah Bumi Kenyalang dan menyumbangkan bilangan kerusi yang lumayan di Dewan Rakyat.
No comments:
Post a Comment