Pages

Thursday, March 24, 2011

PM bertemu Datuk Trio sebelum tayangan video seks?

PETALING JAYA: PKR mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tampil memberi penjelasan berhubung isu video seks membabitkan seorang lelaki seimbas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang pelacur China.
“Saya mendesak Perdana Menteri sendiri memberi maklumbalas kepada satu laporan bahawa Dato’ Trio berjumpa dengan beliau di pejabatnya di Parlimen untuk berbincang mengenai perkara ini,” kata Pengarah Komunikasi parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Datuk Trio yang dimaksudkan ialah Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, 61, Datuk Shuib Lazim, 75 dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, 51, yang mengaku bahawa merekalah dalang yang mendedahkan video seks yang ditayangkan kepada media Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Nik Nazmi berkata, perkara ini menimbulkan tanda tanya yang serius mengenai setakat manakah pembabitan pimpinan kerajaan dalam pembikinan dan penayangan video seks ini, yang melanggar beberapa peruntukan undang-undang secara jelas.
“Keengganan kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera ke atas semua dalang yang terbabit menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa ada penglibatan pimpinan kerajaan yang serius di dalam konspirasi ini, tidak ubah seperti mana konspirasi tahun 1998 dahulu.
“Demi membersihkan namanya dan Umno, Perdana Menteri perlu membuat kenyataan segera mengenai hasil perbincangannya dengan ketiga-tiga dalang video seks yang memalukan Malaysia ini,” ujar beliau.

Dato’ Eskay dirakam dalam video
Berhubung skandal seks video yang memfitnahkan Anwar itu, Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia berkata,
Dato’ Eskay menyatakan bahawa dia juga turut dirakam di dalam video tersebut.
“Ini mengesahkan teori bahawa lelaki yang pada awalnya dilihat sedang mengaturkan sesuatu di dalam bilik dan disyaki bertanggungjawab memasang alat perakam adalah Dato’ Eskay sendiri.
“Ia juga selari dengan persoalan yang ditimbulkan oleh (Ahli Parlimen Sungai Petani) Dato’ Johari Abdul semalam bahawa si pelaku tahu perbuatan seks akan dirakamkan kerana pada awalnya dia dirakam bersama-sama seorang lelaki lain yang disyaki sedang menyiapkan peralatan rakaman.
Ujar beliau,”pengakuan Dato’ Eskay menimbulkan keraguan besar kepada jalan ceritanya iaitu kononnya dia disuruh oleh Anwar untuk mengambil jamnya yang tertinggal, lalu terjumpa peralatan rakaman semasa mencari jam tersebut.
“Jelas bahawa itu pembohongan kerana dia sendiri mengaku bahawa dia adalah lelaki terbabit yang disyaki bertanggungjawab memasang alat rakaman di permulaan rakaman video tersebut.
“Dakwaannya kononnya dia terjumpa video itu adalah penipuan semata-mata dan tidak masuk akal,” kata beliau.

Posting Terkini