Pages

Thursday, February 10, 2011

Ummi Hafilda, Rahimi isytihar ‘perang’ terhadap Anwar, Azmin

KLANG: Disebalik kelantangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkar firma APCO Worldwide yang dilantik kerajaan untuk kempen gagasan 1Malaysia yang turut dikaitkan dengan One Israel, Anwar juga didakwa memiliki sebuah syarikat perundingan yang berpusat di Washington DC, Amerika Syarikat.
Bekas pegawai khas Anwar, Muhamad Rahimi Osman mendakwa bekas majikannya itu memiliki syarikat sendiri iaitu Anwar Ibrahim Consulting Associate dan mempunyai lima pekerja daripada warga Pakistan dan Turki yang menetap di sana.
“Setiap pekerja di situ menerima gaji lima angka USD setiap bulan. Saya lihat perbelanjaan pejabat itu sepanjang tahun 2006 sehingga 2007 hampir US$2 juta. Mana Anwar Ibrahim dapat duit sebanyak ini?

“Bagaimana Anwar boleh kutip duit dalam ceramah dan mengatakan parti tiada wang sedangkan beliau boleh biaya pejabat itu sehingga berjuta-juta dolar,” soal Rahimi dalam siri ceramah Kempen Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohamad Satim Diman dan saksi kes Liwat I Ummi Hafilda Ali.
Ini merupakan penampilan sulungnya sebagai penceramah ‘kem’ Barisan Nasional (BN) selepas membuat laporan polis menukar surat akuan bersumpah (SD) yang ditandatanganinya dengan menafikan penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes liwat II Oktober tahun lalu.
Rahimi juga mendakwa dirinya bertanggungjawab memasukkan wang daripada akaun bekas majikannya ke Sabah dan Sarawak dalam usaha melobi ahli Parlimen semasa pilihan raya umum lalu dan ketika peristiwa cubaan rampasan kuasa 16 September.
Rampas semula Selangor
“Kerja yang merampas Selangor ini saya juga dalangnya. Saya minta maaf saya berjanji akan rampas semula dan pulangkan kembali Selangor ke tangan BN,” katanya sambil diiringi tepukan kira-kira 200 penyokong yang hadir.
Selain itu, beliau turut menegaskan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tidak terlibat dalam konspirasi tuduhan liwat bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Saya berani bersumpah tiada konspirasi jahat Najib dan Rosmah. Saya minta Anwar juga berani bersumpah sama ada Najib dan Rosmah benar-benar terlibat,” katanya.
Sementara itu, Ummi Hafilda berkata ‘serangannya’ terhadap Anwar dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tidak lagi dianggap masalah keluarga tetapi sudah menjadi masalah negara kerana dakwanya mereka bercita-cita tinggi menjadikan negara ini sebagai negara republik.
“Saya rela kehilangan seorang abang daripada mengorbankan 27 juta rakyat Malaysia jika Anwar menjadi pemerintah,” katanya yang berikrar mahu melancarkan ‘peluru berpandu’ bermula tahun ini setelah 13 tahun mendiamkan diri.
Ummi juga berkata tujuannya melakukan pendedahan ini kerana bimbang dengan penglibatan Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat menguruskan ekonomi Selangor dengan salah.
Katanya, pendedahan konspirasi Anwar dan Azmin beserta bukti dan dokumen yang diperolehinya itu akan dimuatkan dalam buku yang akan diterbitkannya pada hujung bulan ini.

No comments:

Posting Terkini