Pages

Tuesday, April 27, 2010

BN lebih berliku selepas Hulu Selangor

ALOR SETAR, 26 April: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor semalam memberikan mesej yang jelas BN bakal menghadapi jalan-jalan yang lebih berliku pada masa akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) ketika sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, hari ini melahirkan rasa terkejutnya dengan kemenangan tipis calon BN, P Kamalanathan.

"BN menang kita tak terkejut, tapi yang kita terkejut BN menang sikit, majoriti undi yang hanya 1,700 lebih tak setimpal dengan apa yang dia sogokkan kepada pengundi di Hulu Selangor. BN akan berhadapan jalan yang berliku jika keputusan ini diambil kira.

"Peruntukan untuk sekolah Cina, peneroka Felda, projek-projek segera dan berbagai-bagai lagi sogokan kepada pengundi termasuk serangan peribadi ke atas calon adalah amalan yang menyalahi undang-undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kena siasat perkara ini," katanya yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Azizan yang bersimpati di atas kekalahan Pakatan Rakyat (PR) bagaimanapun turut mengucapkan tahniah kepada jentera PR yang berjaya meningkatkan jumlah undi berbanding pilihan raya yang lalu.

Keputusan malam tadi menyaksikan calon PR, Datuk Zaid Ibrahim mendapat 23,272 undi, berbanding 23,177 undi yang diperolehi oleh Allahyarham Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pilihan raya umum yang lalu.

"Ini merupakan petanda baik kepada PR dalam pilihan raya yang akan datang. Kita harap PR akan mencatatkan kemenangan dalam PRK Sibu, 15 Mei nanti," katanya. - Harakah



No comments:

Posting Terkini