Pages

Tuesday, April 27, 2010

Hulu Selangor kemenangan sementara BN

KUALA LUMPUR, 27 April — PAS, komponen Pakatan Rakyat, mendakwa kejayaan Barisan Nasional (BN) menawan semula Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi kelmarin hanya “satu kemenangan bersifat sementara”.

Dengan merujuk kepada keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok, Selangor pada 2007 dan Pendang, Kedah lapan tahun lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yakin Pakatan Rakyat akan merampas balik Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13.

Kedua-dua kerusi itu kemudian telah dimenangi oleh PAS dan PKR - dua anggota Pakatan Rakyat.

“Saya boleh nampak ini satu kemenangan sementara kepada BN (di Hulu Selangor), sebab di Ijok pun (BN) menang seperti di Pendang tapi kami menang (kemudian).

“Ini pengulangan kepada itu (kemenangan balik),” kata beliau pada sidang media mengumumkan analisis awal pihak PAS di sini hari ini.

Mustafa juga berkata, keputusan pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor ini adalah satu “keputusan BN gembira dalam gelisah.”

“Kemenangan dalam keadaan tak ceria,” dakwa beliau lagi sambil menambah, ini kerana tiada perubahan mendadak sokongan kepada BN berbanding dua tahun lalu.

P. Kamalanathan dari BN menewaskan Datuk Zaid Ibrahim dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi.

Calon BN itu menerima 24,997 undi manakala Zaid memperolehi 23,272 undi.

Mustafa juga calon pihaknya dari Parti Keadilan Rakyat sebenarnya tidak mengalami kemerosotan undi.

“Undi untuk Datuk Zaid naik kira-kira 100 undi manakala calon BN mendapat kira-kira 2,000 undi lebih berbanding ketika pilihan raya umum 2008,” katanya.

Dengan merujuk kepada sejumlah 26,000 undi yang diperoleh BN membabitkan ketiga-tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor dua tahun lalu, Mustafa berkata, “tidak berlaku peralihan besar undi daripada Pakatan Rakyat kepada BN, tidak berlaku.”

Bahagian Parlimen Hulu Selangor terdiri daripada kerusi Dun Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.

Katanya, tindakan melompat parti membabitkan beberapa pemimpin PKR bahagian Hulu Selangor dan dari beberapa negeri lain dan fitnah terhadap Zaid tidak menjejaskan sokongan kepada beliau.

Mengenai punca undi majoriti diperoleh BN pula kata beliau, ia disumbangkan oleh penurunan undi rosak, trend undi pos dan sokongan pengundi-pengundi dari luar.

Berbanding Mac 2008 undi rosak kali ini merosot daripada 1,461 undi lepada 731 undi manakala jumlah undi pos diterima calon BN ialah 767 berbanding 120 undi untuk calon Pakatan Rakyat.

Oleh itu kata Mustafa beliau mereka yang mengundi rosak dua tahun lalu kini menyokong BN.

Mustafa juga menafikan Zaid tidak berjaya kerana penyokong beliau atas alasan minum arak.

Beliau juga menafikan Pakatan Rakyat gagal mempertahankan Hulu Selangor kerana pengundi PAS tidak menyokong Zaid.

Katanya penyokong-penyokon PAS lazimnya akan mengikut arahan kepimpinan parti dan kes ini menyokong Zaid.

No comments:

Posting Terkini