WASHINGTON: Indeks harga makanan sedunia PBB mencapai paras tertinggi kelmarin sementara cuaca buruk di seluruh dunia boleh menyebabkan kos makanan meningkat lagi.
Indeks Harga Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) telah meningkat buat tujuh bulan berturut-turut dan mencapai paras 231 bulan lalu.
Ini paras tertinggi sejak rekod mula dicatat pada 1990 dan mengatasi paras tertinggi sebelum ini iaitu 224.1 pada Jun 2008, semasa krisis makanan 2007/2008.
'Angka terbaru itu jelas menunjukkan peningkatan harga makanan dunia belum reda. Harga tinggi itu dijangka berlarutan beberapa bulan lagi,' kata ahli ekonomi FAO, Encik Abdolreza Abbassian.
Lonjakan harga makanan kembali menjadi tumpuan selepas turut menjadi faktor yang memarakkan kemarahan rakyat yang membawa kepada kejatuhan Presiden Tunisia pada Januari lalu dan telah merebak ke Mesir, Yaman dan Jordan.Sebagai respons, beberapa negara telah menambah import makanan dan menyimpan stok bagi memenuhi permintaan domestik.
Sementara itu, Presiden Bank Dunia, Encik Robert Zoellick, menggesa pemimpin dunia agar 'bangun daripada tidur' dan memberi perhatian kepada masalah harga makanan yang meningkat.
'Kita akan berdepan dengan trend peningkatan harga komoditi, termasuk harga komoditi makanan, yang lebih luasp,' katanya.
Semasa krisis makanan yang lalu, Bank Dunia menganggarkan sekitar 870 juta penduduk di negara membangun kebuluran atau mengalami masalah kurang zat makanan.
FAO menganggarkan bilangan itu kini mencapai 925 juta orang.
Bencana alam seperti taufan dan banjir di Australia, ribut salji di Amerika dan kemarau yang telah melanda negara-negara pertanian baru-baru ini merupakan antara sebab utama harga makanan melambung tinggi.
Harga gula juga telah mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga dekad menyusuli kebimbangan Taufan Yasi yang baru melanda Australia akan merosakan tanaman tebu.
Harga minyak kelapa sawit dari Malaysia juga mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun ekoran banjir yang melanda negara itu.
Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia PBB, Cik Josette Sheeran, berkata dunia kini berada dalam era di mana setiap negara memberi tumpuan serius terhadap bekalan makanan.
'Jika rakyat tidak mempunyai makanan yang cukup, mereka hanya mempunyai tiga pilihan. Mereka boleh memberontak, mereka boleh berhijrah atau mereka boleh mati. Kita perlukan pelan tindakan yang lebih baik,' katanya. -- Reuters.
No comments:
Post a Comment