Pages

Thursday, October 28, 2010

Yong Teck Lee tunjuk belang habis…'perah limau' pada luka PKR


Datuk Yong Teck Lee

Sejak meninggalkan Barisan Nasional beberapa bulan selepas pilihan raya umum 2008 atas alasan tidak ‘ngam’ dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu, Parti Maju Sabah (SAPP) belum memutuskan menyertai pembangkang dalam pakatan rakyat.

Namun, dengan dua kerusi parlimen dan empat di Dewan Undangan Negeri, SAPP yang diketuai Datuk Yong Teck Lee bertindak sebagai pembangkang di negeri Bawah Bayu itu.

Pasti ramai tertanya-tanya, ke arah mana atau nasib masa depan SAPP selepas keluar BN dan sekiranya mereka tidak menyertai pakatan rakyat.

Bagaimanapun, ada yang merasakan SAPP akan kembali bersama komponen lain dalam BN tetapi ada juga berpendapat parti itu bersedia bersama-sama pembangkang menjelang pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Tetapi berkemungkinan juga SAPP hanya akan mengukuhkan kedudukan mereka untuk mengambil alih Sabah sahaja kerana Teck Lee yang pernah menerajui kepimpinan negeri itu sebelum ini pernah menyatakan bahawa partinya bersedia bertanding bagi memenangi 40 kerusi DUN bagi membolehkan mereka menguasai Sabah.

Itu cita-cita Teck Lee. Tetapi tanpa kedudukan sama ada di parlimen atau DUN, beliau yang tidak dicalonkan pada PRU ke 12 kerana dilarang jadi calon selama 5 tahun mulai 2006, menjadikan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi sebagai landasan bagi menempatkan semula dirinya di arena politik yang lebih besar bukan sekadar presiden SAPP.

Timbul tanda tanya kenapa SAPP gagal berunding dengan pakatan rakyat sehingga parti itu dan PKR turut bersaing menentang calon BN Datin Linda Thau Lin.

Apakah ada muslihat antara Teck Lee dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik pertembungan tiga penjuru di Batu Sapi pada kempen pilihan raya sedang berlangsung?

Ada sumber memberitahu Agendadaily – pakatan rakyat mahukan kemenangan SAPP walaupun PKR mencalonkan Ansari Abdullah kerana mahu SAPP menyertai pakatan pembangkang bagi membolehkan Anwar menambah pengaruh di Parlimen.

Namun melihat pada ceramah Teck Lee di Kampung Karamunting Baru, malam Rabu, terdapat keraguan pada kemungkinan itu bila beliau menyifatkan PKR parti bermasalah termasuk insiden berkelahi merebut jawatan.

Malah beliau mengakui secara terbuka bukan agenda utama SAPP mahu menyertai Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Dalam ceramahnya, Teck Lee mempersoalkan sama ada bekas timbalan perdana menteri itu akan melindungi rakyat Sabah jika berjaya menawan Putrajaya.

Keyakinannya pada Anwar hanya setakat beliau percaya Ketua Umum PKR itu satu-satunya pemimpin yang berdaya maju dalam pakatan rakyat untuk menyandang jawatan Perdana Menteri dalam waktu terdekat.

“Ya, kami melihat dia sebagai (calon) Perdana Menteri berdaya maju. Katakan, apa-apa terjadi ke atas beliau dan tidak lagi layak bertanding sebagai calon, maka pembangkang akan berhadapan dengan tugas berat untuk mencari alternatif kepada Anwar,” katanya.

Tegasnya, rakyat Malaysia akan berhadapan dengan masalah besar dalam mencari seorang untuk menggantikan Ketua Umum PKR itu yang didakwanya kebolehan berdasarkan pengalaman dan latar belakangnya.

Dalam ceramahnya, Teck Lee mendedahkan partinya memang didampingi untuk menyertai pembangkang tetapi menegaskan, tiada guna menganggotai keluarga yang sudah bermasalah.

“Jika anggota keluarga selalu bergaduh, apakah kita harus menyertai mereka? SAPP boleh berkawan dengan mereka, tetapi tidak mahu berkahwin dengan mereka.

“Kita boleh kawan tetapi jangan kahwin. Malah tidak masuk akal hanya selepas kahwin, baru kita akan dapat bantuan mereka,” kata beliau.

Beliau yang meminta PKR memberi laluan kemenangan kepada SAPP seolah-olah menggambarkan kebenaran telahan pihak tertentu bahawa SAPP akan jadi pesaing utama BN di Batu Sapi.

Bagaimanapun Teck Lee harus tidak lupa bahawa rakyat Sabah cukup mengetahui tindak tanduknya dalam politik di negeri itu termasuk akan mempersoalkan apakah yang berjaya dilakukan untuk membantu rakat Sabah ketika berkuasa dahulu.

Banyak kegagalan beliau boleh ditulis begitu juga dengan tindakannya membawa SAPP keluar BN kerana isu ketidakpuasan hati dengan Pak Lah sedangkan pemimpin parti itu sudah mendapat banyak nikmat ketika berpayung bersama BN.

Apakah pemimpin yang mengigit tangan tuan yang memberinya makan mahu dipilih oleh pengundi-pengundi di Batu Sapi – pasti 25,582 pengundi di Batu Sapi boleh memberi jawapannya pada 4 November ini. 27/10/2010  - Agendadaily

No comments:

Posting Terkini