Pages

Wednesday, October 27, 2010

Lebih 110 maut, 500 hilang dalam tsunami di Indonesia

MENYELAMATKAN DIRI DARIPADA TSUNAMI: Orang ramai cuba menghubungi saudara-mara menggunakan telefon bimbit sedang mereka melarikan diri ke kawasan lebih tinggi di Padang kelmarin selepas amaran tsunami dikeluarkan menyusuli gempa di Sumatera Barat. -- Foto AFP

Gempa sekuat 7.7 landa Sumatera, 10 pelancong hilang selepas dua bot berlanggar dipukul ombak besar

JAKARTA: Seramai 113 orang mati dan 502 hilang dalam tsunami akibat satu gempa bumi sekuat 7.7 pada Skala Richter di Sumatera Barat kelmarin, kata saksi dan pegawai semalam.

'Angka korban kini mencapai 113 orang,' kata ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Encik Mujiharto, kepada Xinhua menerusi telefon.

Speaker parlimen wilayah Kepulauan Mentawai, Encik Hendri Dori Satoko, ditukil Metro TV sebagai berkata 502 penduduk dilapor hilang sejauh ini.

Stesen televisyen Metro TV melaporkan pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang hilang. Mereka membawa 200 kantung mayat, kata Encik Mujiharto.

Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, telah mengarahkan Menteri Kebajikan, Encik Agung Laksono, mengambil langkah menangani kesan tsunami.

'Saya mengisytiharkan satu respons darurat yang akan berkuatkuasa sepanjang 14 hari mendatang,' kata Encik Agung Laksono.

Badan Kaji Cuaca dan Geofizika Indonesia mengesahkan tsunami kecil berlaku lima minit selepas gempa bumi yang melanda pada 9.42 malam kelmarin itu.

Amaran itu ditarik balik setengah jam kemudian.

Pusat gempa terletak 78 kilometer ke barat daya pulau Pagai Selatan di kedalaman 10 kilometer di bawah laut, dekat kepulauan Mentawai.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata gempa itu berlaku 14.2 kilometer di bawah laut.

Tsunami melanda dua pulau, Pagai dan Silabu, di kepulauan Mentawai, kata pegawai Agensi Pengurusan Bencana Sumatera Barat, Encik Ade Edward.

Beratus rumah di kampung Betu Monga, di Pulau Pagai Selatan, dihanyutkan ombak besar, kata pegawai Jabatan Perikanan, Encik Hardimansyah.

'Penduduk memberitahu pos keselamatan bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan anak-anak daripada dihanyutkan ombak. Ramai penduduk menangis,' kata beliau.

Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Encik Mujiharjo, berkata: 'Dua mayat sudah ditemui di Pulau Sipora. Ramai penduduk masih hilang di kampung Bosua dan kami sedang mencari mereka.'

Menurut beliau, ombak mencapai ketinggian tiga meter dan rempuhan ombak sampai sejauh 600 meter ke darat di Pulau Pagai Selatan.

'Sekitar 80 peratus bangunan di kampung Muntei rosak akibat pukulan ombak dan ramai penduduk hilang,' kata Encik Mudjiharto.

Sembilan pelungsur ombak warga Australia dan seorang warga Jepun dilapor hilang akibat serangan tsunami itu.

Mereka hilang selepas dua bot yang mereka naiki bertembung akibat dipukul gelombang besar setinggi tiga meter.

Salah sebuah bot itu kemudian terbakar dan ramai penumpangnya hilang selepas terjun ke dalam laut.

Pekerja penyelamat telah melancarkan operasi mencari bot yang hilang itu.

Ketua sebuah badan kebajikan sukan gelungsur ombak, SurfAid International, Encik Andrew Judge, berkata pihak- nya akan menghantar bot dan menyewa pesawat untuk mencari bot tersebut. -- Agensi.

2 comments:

Anonymous said...

Are You a New blogger? Cum in to learn tips and tricks for new bloggers,html codes,dow 3 column templates,how to,Seo,google adsense,Meta tags ...

Anonymous said...

You can Drive traffic to your site with Google AdWords,html codes,dow 3 column templates

Posting Terkini