Pages

Thursday, October 28, 2010

Bangunan tinggi tanda kehancuran tamadun manusia


Tuan Guru Abdul Hadi Awang

MARANG: Umat Islam diingatkan bahawa Allah SWT telah memberi amaran di dalam al-Quran sikap berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi petanda kehancuran tamadun manusia.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata usah menjadi manusia yang bodoh dan jahil berbangga dengan bangunan-bangunan tinggi serta pencakar langit.

Kononnya, kata beliau dengan mendirikan bangunan yang tinggi serta pencakar langit itu tanda kemajuan negara.

“Jangan kita (umat Islam) menjadi manusia yang bodoh dan jahil, yang tidak sedar dirinya jahil dan berbangga kononnya kemajuan negara dengan banyaknya bangunan-bangunan tinggi dan pencakar langit.

“Ketahuilah, bahawa Allah SWT memberi ‘amaran’ dengan mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi itu bukannya kemajuan tamadun manusia.

“Tetapi ia (petanda) adalah ‘pendahulan’ untuk dihancurkan tamadun manusia, tanda kelekaan dan kelalaian mereka (manusia),” ujarnya ketika berkhutbah Jumaat di mimbar Masjid Rusila, Jumaat lalu.

Justeru itu, katanya tanda-tanda akhir zaman yang akan menghancurkan dunia apabila orang kaya diberikan kemewahan leka serta lalai dengan kekayaan tersebut.

Menurutnya, golongan tersebut berbangga, bermegah serta berlumba-lumba untuk menunjukkan kekayaan masing-masing.

“Tanda-tanda akhir zaman yang akan menghancurkan dunia apabila ada orang kaya yang diberi kemewahan. Mereka berasal daripada orang-orang yang hidup di padang pasir yang kering dan di kawasan yang jauh.

“Ada yang tidak pernah kenal kasut kerana kemiskinan dan tidak mempunyai pakaian yang cukup, yang hanya memelihara kambing dan memelihara binatang-binatang peliharaan yang hasilnya tidak banyak.

“Tiba-tiba mereka (orang miskin) mendapat kurnia kekayaan, rezeki yang diberi oleh Allah SWT. Mereka (manusia) menjadi leka dan lalai dengan kekayaan itu.

“Mereka berbangga dan bermegah untuk mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi, berlumba-lumba untuk menunjukkan kekayaan dan kemegahan harta benda mereka,” jelasnya.

Ustaz Abdul Hadi mendakwa di negeri-negeri Arab yang kaya dengan hasil minyak dan gas tidak tahu menggunakan duit yang banyak itu.

Sedangkan, katanya di negeri-negeri orang Islam tersebut masih ramai golongan yang susah serta memerlukan bantuan dan pertolongan.

Menurutnya, ‘penyakit’ (masalah) tersebut turut melanda dikebanyakkan negeri-negeri umat Islam termasuk di negara ini.

“Penyakit (masalah) ini melarat dikebanyakan negeri Islam termasuk dalam negeri kita sendiri. Mereka (Umno-Barisan Nasional) mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi.

“Dan di sana (situasi) ada rakyat yang jahil dan bodoh menyatakan inilah tanda kemajuan kita (negara). Inilah tanda kehebatan kita (negara).

“Inilah cakap mereka (rakyat) yang jahil dan bodoh. Kehidupan mereka (rakyat) sendiri pun tidak senang tetapi berbangga dengan pemimpin-pemimpin yang menyalahgunakan harta yang diberikan oleh rakyat,” ujarnya.

Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan tindakan bermegah-megah itu merupakan suatu kemungkaran yang sangat besar.

Katanya, kemungkaran yang sangat besar serta wajib dicegah oleh umat Islam yang tidak redha dengan tindakan tersebut.

“Ini (bermegah) adalah satu kemungkaran yang sangat besar dan wajib dicegah oleh umat Islam,” tegasnya.

Pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan membina bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat yang bakal menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Lumpur pada tahun 2020.

Projek bernilai RM5 bilion itu dijangka siap 10 tahun dari sekarang yang mempunyai ketinggian melebihi bangunan Menara Berkembar Petronas.

1 comment:

Anonymous said...

kalau macam nie.. benarlah dakwaan najib salah seorang ahli freemason.. yang ingin wujudkan tenaga negatif dari bumi bagi kebangkitan dajjal. mungkin najib menjadi pengikut tegar yang ingin kekal abadi bersama zionis @ freemason seperti yang dijanjikan dajjal kepada pengikut2 nya.

Posting Terkini