Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak media terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai kewangan Kerajaan Selangor yang telah diedarkan kepada orang ramai, Isnin lalu.
Kami percaya laporan audit yang telah disediakan oleh pejabat Audit Negara bertujuan untuk penambahbaikan. Namun apa yang tergambar di media seolah-olah kerajaan negeri tidak mengurus dengan baik.
Agar rakyat tidak terkeliru, saya ingin membuat penjelasan seperti berikut.
Pertama: Urusniaga Penyata Penyesuaian Bank Kerajaan Selangor
Sejak 2002, Selangor telah gagal menyesuaikan (reconcile) urusniaga iaitu urusniaga tertuggak dalam penyata bank Kerajaan Negeri Selangor.
Sehingga 2009, urusniaga yang telah gagal disesuaikan berjumlah RM977.70juta. Mengikut pecahan, 2002-2003 sebanyak RM126 juta, 2004 (RM327 juta), 2005 (RM82 juta), 2006 (RM278 juta), 2007 (RM48 juta) , RM61 juta pada 2008 dan RM56 juta pada 2009.
Menyedari jumlah ini terlalu banyak, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas untuk menangani masalah ini supaya semua urusniaga dan pungutan hasil dapat disesuaikan dengan kedudukan semasa. Dengan ini, urusniaga tertunggak dapat dihentikan sepertimana yang diamalkan oleh organisasi kewangan yang cekap dan berkesan,
Jawatankuasa ini telah menyelesaikan masalah menyesuaikan nombor urusniaga pembayaran dan pungutan hasil dengan rekod buku tunai dan penyata bank. Hasilnya, sejumlah RM770.85 juta telah dapat diselaraskan sehingga 26 Oktober 2010.
Baki RM206.36 juta akan disemak dari semasa ke semasa dan dijangka penyesuaian akan dapat dibuat sepenuhnya total pada tahun kewangan terakhir pada 31 Disember 2010.
Oleh itu, laporan akhbar News Straits Times yang mendakwa RM977.70 juta wang Kerajaan Negeri ‘hilang’ dalam tempoh enam enam hingga tujuh bulan adalah tidak benar. Laporan ini boleh dianggap sebagai laporan nakal yang bermotifkan politik (politically mischevious news report).
Ini adalah kerana laporan audit telah dengan jelas menyatakan masalah ini berlaku sejak tujuh tahun yang lepas – bukan enam hingga tujuh bulan yang lepas seperti yang dilaporkan.
Kedua: Hutang Kerajaan Pusat
Laporan Ketua Audit Negara menyatakan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat berjumlah RM829.86 juta. Lebih 85% atau RM705 juta daripada jumlah hutang melibatkan pembelian aset air.
Hutang ini sepatutnya dibayar SYABAS sepertimana yang dipersetujui dalam perjanjian penswastaan bekalan air Selangor diantara SYABAS, Kerajaan Negeri dan Persekutuan apabila perkhidmatan air diambil alih oleh SYABAS daripada Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) pada 2003.
Kerajaan Negeri mendapati rekod aset loji pembekalan dan loji pengagihan air bukan sahaja tidak lengkap malah tertinggal dalam rekod milikan Kerajaan Negeri.
Mulai 2008, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih, Kerajaan Negeri mula membuat tindakan mengesahkan aset-aset dengan mengenal pasti lokasi dan keadaan aset tersebut.
Sebelum pengesahan dibuat, nilai aset air yang tercatat dalam buku Karajaan Negeri hanyalah RM1 bilion.
Tetapi pakar perunding yang dilantik kerajaan negeri telah mengenal pasti aset air yang dimiliki sebenarnya bernilai RM10.98 bilion iaitu melebih RM9 bilion dari rekod asal.
Jika Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan air dan menyerahkan aset ini kepada PAAB (Perbadanan Aset Air Berhad) yang ditubuh bawah Akta WSIA (Akta Industri Air Malaysia), Kerajaan Negeri bukan saja dapat melangsaikan hutang tersebut tetapi menambah milikan aset lebih dari RM9 bilion.
Oleh itu pembayaran hutang air ini tidak timbul dan perkara ini telah pun dipersetujui oleh pihak Audit Negara.
Di sini saya ingin menekankan penyusunan semula air perlu dilakukan segera supaya rakyat Selangor tidak dibebankan dengan tariff tinggi yang akan dikenakan oleh SYABAS yang selama ini tidak membayar satu sen pun untuk menggunakan aset kerajaan negeri yang bernilai lebih RM10 bilion.
Ketiga: Rezab
Semasa penyelidikan audit dilakukan terhadap rezab negeri Selangor, pejabat Ketua Audit Negara hanya mengambil kira dalam kewangan berakhir 31 Disember 2009 dan tidak melihat apa yang berlaku seterusnya.
Untuk makluman, selepas tempoh tersebut, rezab kerajaan negeri meningkat dan tidak lagi berada dalam kedudukan negatif. Kerajaan Negeri tahu pada waktu itu bahawa keadaan akan pulih kerana pendapatan dijangka meningkat selepas 31 Disember 2009.
Carta di bawah menunjukkan dengan jelas peningkatan rezab pada 2010. Sehingga Jun 2010, Selangor telah mencatatkan lebihan pendapatan RM268.18 juta iaitu paling tinggi dalam tempoh lima tahun.
Turun naik rezab adalah perkara biasa dalam mana-mana institusi kewangan termasuk rezab negara. Oleh itu laporan audit bahawa rezab Selangor telah merosot tidak membimbangkan.
Keempat: Bangunan Teater Diraja Shah Alam
Projek ini menghadapi masalah sejak dari awal dimana kontraktor melakukan kerja tersebut telah dilantik secara runding terus. Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM43 juta untuk projek ini tetapi hasilnya sangat mengecewakan kerana syarikat kontraktor gaga; mematuhi spesifikasi dan pelan asal.
Contoh kerja pembinaan yang lemah ialah kemasan yang renggang, tinggi tangga yang tidak sekata dan projek siap lewat sehingga 14 bulan.
Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa untuk membaiki kerosakan dan kelemahan pembinaan dan dijangkanya bangunan ini dapat perbaiki dalam tempoh setahun.
Kelima: Pelaburan anak syarikat tidak untung
Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) telah disusun semula pada Jun 2009 . Sebelum waktu ini, kebanyakan anak-anak syarikat yang ditubuhkan Kerajaan Negeri tidak melihat keuntungan sebagai asas utama penubuhan.
Syarikat ini tidak memberi fokus kepada keuntungan yang sesuai dengan pelaburan dibuat. Selepas penstrukturan semula MBI, wujud satu visi untuk mendapat keuntungan.
Walaupun anak-anak syarikat ini terus menjalankan tanggungjawab sosial (corporate social responsibility) untuk rakyat Selangor tetapi konsep mendapat keuntungan dari perniagaan akan diberi keutamaan. Semua syarikat akan dipantau oleh MBI dan semua bonus dan pembayaran ganjaran syarikat mestilah berasaskan hasil keuntungan.
Keenam: Isu pasir
Pembayaran royalti bukan satu-satunya hasil kerajaan Negeri dari industri pelombongan pasir. Sejak KSSB ditubuhkan Jun 2008, hasil pasir adalah termasuk keuntungan dari jualan.
Nota * Projek Khas (Kolam Tadahan Air Wijaya Baru) di Petaling menyumbang royalti sekitar RM3.1juta
** 15 Sep – 31 Dis 2008, KSSB mula beroperasi 15 Sep 2008, telah diaudit
Oleh itu, jika kita campurkan hasil royalti dan keuntungan KSSB, maka pendapatan Kerajaan Negeri adalah lebih baik daripada sebelum ini. Sila rujuk graf dibawah:
Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negeri bertanggungjawab memantau dan membanteras operasi perlombongan haram.
Usaha ini melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan pemantauan bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).
Kerajaan Negeri Selangor juga amat mengalukan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersama terlibat dalam operasi sebegini.
Mengikut perangkaan yang dikemaskinikan sehingga 26 Oktober 2010 oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor terdapat sembilan puluh enam (96) tangkapan yang telah dilakukan oleh Pejabat Tanah Daerah dan juga Pejabat Tanah dan Galian Selangor.
Tangkapan tersebut telah dilakukan sekitar bulan Januari hingga Oktober 2010 di beberapa lokasi hotspot yang dikenalpasti menjadi tumpuan penyangak pasir. Tempat hotspot tersebut menjadi tumpuan pencuri pasir kerana kualiti pasir dan permintaan pasir yang tinggi di pasaran pada masakini.
Daripada rekod kes yang didaftarkan oleh Bahagian Undang-Undang dan Dasar, Pejabat Tanah dan Galian Selangor terdapat lapan (8) kes telah berjaya dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dan atas perintah Mahkamah Majistret pada 18 Oktober 2010 lapan (8) kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam.
Secara kesimpulannya, kita mahu memastikan pentadbiran Kerajaan Selangor adalah bersih dan berada di landasan yang betul serta tidak lagi wujud unsur-unsur korupsi, salah urus tadbir dan pembaziran
Kita mahu memperbetulkan kesilapan-kesilapan lama, mengemas kini kelemahan pentadbiran kewangan untuk memastikan pentadbiran yang telus, efektif dan bertanggungjawab.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR.
Thursday, October 28, 2010
Laporan audit bukti Selangor Urus Kewangan dengan Telus dan Bertanggungjawab
Labels:
ekonomi,
Kerajaan Pakatan Rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment