SHAH ALAM - Persaingan antara calon Pas dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan berlangsung pada 4 November ini dijangka sengit kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussein berkata, PRK kali ini menyaksikan persaingan sengit dan seimbang antara kedua-dua calon kerana masing-masing berupaya untuk menarik pengundi.
“Siapa yang menang atau kalah itu kita tidak mampu ramalkan buat waktu ini kerana kedua-duanya ada kebolehan dan kekuatan tersendiri.
“Bagi UMNO mereka letak calon yang mereka yakin boleh menang. Calon UMNO misalnya memiliki kelebihan memandangkan dia pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan dan memiliki hubungan yang lebih rapat dengan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kawasan mengundi turut memainkan peranan dan mempengaruhi kemenangan calon.
“Di Galas kita boleh lihat penduduknya terdiri dalam kalangan orang kampung, berlainan dengan situasi di Kota Bharu yang penduduknya lebih tertumpu kepada aspek pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, apa yang pasti, pengundi Pas tidak akan berubah dan akan setia mengundi calon parti mereka.
“Yang akan berubah adalah pengundi atas pagar. Kita boleh lihat walaupun Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tidak bertanding tetapi masyarakat melihat beliau berada di belakang calon yang bertanding.
“Walaupun begitu, saya tidak menganggap BN akan menang mudah memandangkan kedudukan Galas berada di bawah negeri yang diperintah Pas,” katanya.
Beliau berkata, segala-galanya bergantung kepada kempen rancak yang dijalankan kedua-dua parti.
“Kempen pada saat terakhir dan strategi yang dimainkan kedua-dua parti akan mempengaruhi pengundi,” katanya.
Penganalisis politik, Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman pula berkata, kedua-dua calon adalah orang kuat parti dan dikenali penduduk kawasan itu.
“Kedua-dua calon boleh dikategorikan aktivis dan orang kanan parti, tetapi jika dilihat daripada sudut kerjaya, calon Pas memiliki sedikit kelebihan.
“Dari segi pengalaman dalam parti, kedua-duanya lebih kurang sama. Yang akan membezakan antara kedua-duanya adalah jentera parti,” katanya.
Menyentuh mengenai isu yang dimainkan sepanjang proses berkempen, Nizamuddin berkata, Pas dilihat lebih cenderung menonjolkan isu nasional bagi mengkritik kepimpinan BN antaranya kes liwat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), pembinaan Menara Warisan, perbelanjaan kewangan negara, penyelewengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan sebagainya.
Sebaliknya, beliau memberitahu BN pula lebih suka menonjolkan isu setempat seperti kekurangan keperluan asas yang dihadapi penduduk di kawasan Galas.
No comments:
Post a Comment