Pages

Wednesday, October 27, 2010

Terkejut jumpa puluhan bom

GEMAS – Seorang pemandu jengkaut tidak menduga tugasnya mengorek tebing Sungai Gemas bagi melebarkan dan mendalamkan sungai berkenaan berakhir dengan penemuan berpuluh-puluh bom mortar serta ribuan peluru mesi�ngan kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Difahamkan, ia dipercayai milik Tentera Bersekutu, yang juga peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua yang berlaku di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Suprintendan Wooi Kooi Cheang berkata, setakat jam 4 petang, semalam, dipercayai sebanyak 30 hingga 40 bom mortar dijumpai di tepi lokasi penemuan iaitu Sungai Gemas dan jumlah itu berkemungkinan bertambah.

“Justeru, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang diketuai Cif Inspektor Hamidin Ramli bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, jumlah sebenar bom dan peluru berkenaan masih belum dapat dipastikan tetapi polis akan meneruskan operasi mencari," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, proses memusnahkan bom dan peluru terbabit akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam tempoh dua atau tiga hari.

Kerja mendalamkan dan melebarkan tebing Sungai Gemas itu adalah bagi melicinkan lagi pelaksanaan projek landasan kereta api Gemas ke Segamat.

Sementara itu, ketika kejadian, pemandu jengkaut terbabit segera menghentikan kerjanya apabila menjumpai puluhan bom yang tertanam dalam tanah, selain peluru di dalam kotak plastik hampir reput terdedah apabila tebing itu dikorek.

Kooi Cheang menasihatkan penduduk berhampiran dan orang ramai tidak menghampiri kawasan atau lokasi penemuan bom terbabit sepanjang kerja :pemusnahan dijalankan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak :kemungkinan terdapat banyak lagi bom dan peluru lama di tebing sungai yang memisahkan Negeri Sembilan serta Johor. - Sinar Harian

No comments:

Posting Terkini