Pages

Wednesday, October 27, 2010

Batu Sapi: SAPP lebih popular dari PKR

Oleh Luke Rintod

SANDAKAN: Parti Progresif Sabah (SAPP) kini mendahului PKR dari segi populariti ketika bermula kempen pilihan raya kecil (PRK) parlimen Batu Sapi.

Parti itu mendapat sokongan moral apabila bekas presiden Pasok, Cleftus Mojingol dan juga anak saudara Allahyarham Mustapha Harun, pengasas Usno, menyertai parti pembangkang dalam satu majlis di Kampung Karamunting di sini semalam.

Calon Batu Sapi yang juga Presiden SAPP Yong Teck Lee, menyambut mesra ketibaan Cleftus dan Razak Abdul Salam di majlis itu.

Cleftus, tanpa parti buat masa ini selepas menerajui Pasok untuk beberapa tahun memberitahu FMT bahawa beliau menyertai SAPP kerana pendirian teguh parti itu untuk mendapatkan kuasa autonomi bagi Sabah.

"Saya akan menyertai SAPP secara rasmi malam ini untuk bersama pemimpin dan ahlinya untuk merealisasikan perjuangan yang dekat di hati saya sejak sekian lama saya berjuang dalam Pasok," katanya.

Anak saudara Mustapha, Razak mengucapkan penghargaan kerana menerima permohonannya untuk menyertai parti.

Kedua-dua mereka menerima sambutan hangat daripada tetamu, kebanyakannya orang-orang Islam, dengan tepukan gemuruh apabila nama mereka diumumkan oleh SAPP.

Terhakis imej sebagai parti Cina

Walaupun berciri pelbagai kaum, SAPP, sekian lama dikaitkan dengan pimpinan masyarakat Cina. Kini imej kecinaan itu semakin terhakis apabila ramai pemimpin Bumiputera menyertai parti itu.

Turut hadir di majlis itu ialah bekas menteri kewangan Sabah ketika era Berjaya, Mohd Noor Mansur dan bekas ketua cabang PKR Papar, Saidi Lampoh.

Terdahulu dalam ucapannya, Yong berkata, mereka yang menuduh SAPP sebagai pengacau dalam PRK Batu Sapi telah melakukan kesilapan.

"Kami bukan pengacau. Kami telah mengambil kira risikonya dan mendengar aspirasi daripada ahli di peringkat akar umbi sebelum membuat keputusan untuk bertanding. Keputusan pilihan raya pada 4 November ini akan menyokong hujah kami ini," katanya.

Para pemimpin PKR menuduh SAPP memecah undi kerana tidak mahu memberi laluan kepada PKR untuk bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

Yong berkata, walaupun SAPP sudi berkawan dengan PKR dan BN, ia tidak bersedia untuk "berkahwin" dengan PKR.

"Kita boleh menjadi kawan tapi macam mana kita nak "berkahwin" dengan PKR sedangkan keluarga mereka sentiasa bergaduh.

Bolehkah kita berkahwin dengan keluarga yang selalu bergaduh?

"Lihat apa yang terjadi di lapangan terbang dua hari lalu apabila mereka bertumbuk sesama sendiri kerana merebut pencalonan," kata Yong.

"Adakah anda fikir Anwar Ibrahim akan menghormati orang-orang Sabah apabila mereka berkelakuan seperti ini?

"Adakah anda fikir Anwar akan menghormati kita pada masa depan apabila kita bergaduh sesama sendiri, hanya untuk mendapatkan pengesahan daripadanya?" soal beliau.

1 comment:

Anonymous said...

Are You a New blogger? Cum in to learn tips and tricks for new bloggers,html codes,dow 3 column templates,how to,Seo,google adsense,Meta tags ...

Posting Terkini