BAGHDAD: Menteri Minyak Iraq, Encik Hussain Al-Shahristani, semalam menaikkan anggaran simpanan minyak negara itu kepada 143.1 bilion tong.
Kenaikan sebanyak hampir 25 peratus itu menukar taraf negara yang dilanda peperangan itu menjadi negara kedua paling besar simpanan minyaknya di dunia.
Perangkaan baru itu mencerminkan simpanan minyak 'yang boleh dikeluarkan menggunakan teknologi yang ada di negara ini' kata Encik Al-Shahristani kepada pemberita.
Jumlah tersebut berdasarkan simpanan di 66 telaga minyak.
Menurutnya, 'ada kawasan lain yang boleh diteroka dan dijangka meningkatkan lagi jumlah simpanan berkenaan'.
Pertambahan itu penting dari segi psikologi dan ekonomi bagi Iraq.
Negara itu, yang merupakan tempat lahirnya Pertubuhan Negara Pengeskport Minyak (Opec), bertungkus lumus untuk meningkatkan pengeluaran dan eksportnya selepas bertahun-tahun dikenakan sekatan dan dilanda peperangan.
Pada masa ini, Iraq mengeksport secara kasar 1.9 juta hingga dua juta tong minyak sehari, yang menyumbang hampir semua tukaran wang asingnya.
Dua pusingan pelesenan minyak antarabangsa pada tahun lalu membuka pintu bagi syarikat minyak antarabangsa memasuki semula pasaran minyak Iraq.
Iraq berharap pengeluaran baru daripada 10 telaga minyak yang ditawarkan semasa dua lelongan itu akan menaikkan pengeluaran kepada 12 juta tong sehari menjelang 2017.
'Iraq akan memberitahu Opec secara rasmi hari ini agar simpanan baru ini diiktiraf masyarakat antarabangsa,' kata Encik Al-Shahristani.
Selama beberapa tahun, simpanan minyak mentah Iraq disenaraikan pada 115 bilion tong tanpa sebarang semakan atau cari gali yang baru.
Dengan perangkaan itu Iraq disenaraikan sebagai negara yang mempunyai simpanan minyak ketiga paling besar di dunia selepas Arab Saudi yang memiliki simpanan sebesar 264.6 bilion tong dan Iran yang menduduki tempat kedua dengan 137.6 bilion tong, menurut Semakan Statistik Tenaga BP yang terkini. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment