Pages

Monday, March 15, 2010

Musa Hassan letak jawatan. China Press diarah beri penjelasan

KEMAMAN: Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kelmarin menegaskan beliau tidak pernah menerima surat peletakan jawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, seperti dilaporkan akhbar berbahasa Cina, China Press.

Beliau berkata laporan itu tidak benar. Oleh itu, pengurusan akhbar tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan.

Malah China Press berkemungkinan dikenakan tindakan tegas jika penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, katanya.

'Hubungan saya dengan Ketua Polis Negara dan timbalannya (Tan Sri Ismail Omar) serta pegawai tinggi lain amat rapat. Jadi saya patut tahu kerana tidak mungkin mereka ingin meletak jawatan tanpa pengetahuan saya,' katanya seperti ditukil akhbar Mingguan Malaysia semalam.

'Laporan itu satu pembohongan. Saya ingin memberi amaran keras agar jangan membuat laporan tidak benar,' kata Datuk Seri Hishammuddin kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Cukai kelmarin.

Menurut laporan China Press, Tan Sri Musa akan bersara sebelum Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempatnya akan diambil alih oleh Tan Sri Ismail.

Datuk Seri Hishammuddin berkata sebarang perubahan jawatan dalam pasukan keselamatan itu akan ditentukan kerajaan dan bukan berdasarkan spekulasi akhbar.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan akan berlaku penstrukturan jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh terdekat.

'Kontrak Ketua Polis Negara akan tamat September ini selain empat pengarah PDRM juga akan bersara. Dalam tempoh enam bulan ini akan berlaku peralihan jawatan tertinggi dan ini akan dijalankan secara lancar,' tegasnya.

'Saya akan mengumumkan perancangan penstrukturan ini dalam tempoh terdekat, namun ia tidak hanya berkisar pada Ketua Polis Negara atau peletakan jawatan,' tambahnya.

Tan Sri Musa kelmarin turut menafikan laporan itu dan mempersoalkan sumber yang digunakan.

'Saya tidak pernah menghantar sebarang peletakan jawatan kepada sesiapa pun termasuk Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Berita itu tidak benar dan saya nafikan sekeras-kerasnya,' tegasnya seperti ditukil akhbar Berita Minggu Malaysia semalam.

'Saya terkejut bagaimana boleh tersiarnya berita seperti itu. Seolaholah ia dirancang satu-satu pihak yang mungkin mempunyai kepentingan,' katanya. -- Mingguan Malaysia, BMM.

No comments:

Posting Terkini