Pages

Tuesday, March 16, 2010

Di mata dunia

16 MAC — Apabila ditegur, reaksi biasa ego kita adalah untuk tersindir dan defensif. Kita terasa seperti maruah kita dipertikai dan mesti dipertahankan, mengakibatkan kita menyerang mereka yang menegur.

Berapa di antara kita cukup rendah hati untuk menerima kritikan dengan terbuka dan ikhlas?

Saya sendiri mengaku tidak senang, terutamanya jika teguran itu disampaikan dengan kasar.

Walaupun begitu, tidak mungkin kita dapat menambah baik diri kita tanpa mendengar dengar berbuka hati apa yang dikatakan tentang diri kita — barulah kita boleh menilai secara adil sama ada kritikan itu benar atau tidak.

Kebelakangan ini, nama Malaysia seringkali terdengar di media dunia — tetapi malangnya, dalam cahaya yang cukup negatif.

Subjek kritikan yang diterima Malaysia termasuk serangan ke atas tempat-tempat ibadat, hukuman sebat kepada Kartika dan tiga perempuan muda, serta perbicaraan Anwar Ibrahim.

Pihak-pihak kerajaan telah mempertahankan dengan agresif kewibawaan kerajaan serta sistem kehakiman di negara kita. Ada yang puas hati dengan pendirian kerajaan, manakala ada yang terasa kerajaan Malaysia bertindak seperti jaguh kampung di komuniti antarabangsa.

Untuk menilai kritikan-kritikan yang diterima Malaysia kebelakangan ini, kita terpaksa melepasi ego dan berfikir dengan tenang mengenai intisari hujah-hujah yang dibawa oleh para kritik.

Pada saya, mereka yang menuduh Malaysia sebagai tempat yang penuh dengan kebencian antara kaum dan agama berdasarkan serangan ke atas gereja-gereja dan surau-surau telah salah mentasfir kejadian-kejadian ini.

Tindakan individu-individu yang bertanggungjawab atas serangan bacul ini tidak mewakili perasaan dan pendirian jutaan warga Malaysia yang cintakan keamanan dan harmoni.

Walaubagaimanapun, saya bersetuju bahawa antara faktor-faktor serangan tersebut adalah kegagalan kerajaan untuk menangani dengan matang isu pengunaan istilah Allah serta dinamik kontroversi yang menyusul.

Kerjaan dilihat seakan-akan sengaja mengapikan sentimen dan menghebohkan isu ini untuk kepentingan politik. Latar kepada pemikiran ini adalah persaingan di antara Umno dan parti-parti Pakatan Rakyat untuk dilihat sebagai pejuang isu-isu Islam.

Konteks tersebut juga mempengaruhi kes Kartika dan tiga perempuan yang disebat.

Saya tidak akan cuba menilai di sini sama ada hukuman sebat ini adalah berpatutan, sah atau wajar di sisi Islam. Soalan saya adalah satu sahaja: apakah kerajaan akan konsisten dalam menjatuhkan hukuman ini kepada semua warga Islam yang ditangkap menjalin hubungan seks luar nikah?

Pertama sekali, bagaimana dengan lelaki-lelaki yang membuntingkan tiga perempuan muda tersebut? Mengapa satu pihak sahaja yang dijatuhkan hukuman?

Bagaimana pula dengan kes profil tinggi, seperti Abdul Razak Baginda yang mengaku hubungan beliau dengan Altantuya Shaariibuu di makhamah terbuka?

Ramai orang cukup syak bahawa lebih lagi pemimpin-pemimpin dan “orang besar” mungkin pernah terlibat dalam aktiviti berkenaan (nasib baik Chua Soi Lek tidak beragama Islam).

Bagaimana dengan ribuan yang lain yang mungkin turut bersalah? Jika ditangkap, adakah mereka akan dihukum seperti tiga perempuan muda itu?

Jika tidak, kita tidak patut hairan jika kewujudan keadilan di Malaysia terus dipertikai.

Begitu juga untuk kes-kes liwat, yang masih di luar hukum di Malaysia. Setahu saya, hanya dua kes liwat yang pernah dibawa ke makhamah — dan kedua-duanya melibatkan orang yang sama.

Apakah di seluruh negara dan sejarah Malaysia hanya terdapat seorang sahaja peliwat?

Dalam keadaan sebegitu, patutkah kita kecil hati apabila pemimpin dari negara lain menimbulkan kemungkinan konspirasi politik?

Saya menerima dengan berbuka hati konsep bahawa setiap orang berhak menuntut keadilan jika merasa dirinya bersalah, termasuk Saiful Bukhari.

Walaupun begitu, jika kes dilihat secara menyeluruh dan dalam konteks sejarah, kita tidak boleh menyalahkan pemantau asing mahupun warga Malaysia sendiri jika merasa amat syak wasangka dengan fakta-fakta yang berkaitan dengan tuduhan Saiful.

Saya harap kerajaan dan rakyat tidak terlalu cepat tersinggung atau menyerang balik dengan membuta tuli apabila dikritik oleh orang lain.

Tidak perlu kita menekankan imej sahaja atau pendapat orang lain terhadap kita; tetapi, kita tidak boleh lari dari fakta, dan harus mengambil kesempatan untuk menimbang kebenaran kritikan tersebut — bukan demi menjaga maruah di mata dunia, tetapi di mata diri kita sendiri.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Nathaniel Tan believes this world is full of people, he was born to love them all.

No comments:

Posting Terkini