Pages

Wednesday, February 3, 2010

Senator Filipina lari ke luar negara elak pertuduhan

MANILA: Senator pembangkang Filipina yang menghadapi tuduhan bunuh berkata beliau melarikan diri dari negara itu untuk mengelak apa yang dikatanya gangguan politik oleh kerajaan Presiden Gloria Macapagal Arroyo.

Senator Panfilo Lacson, bekas ketua polis dan seorang daripada pengkritik hebat Arroyo, menghantar kenyataan kepada media Filipina semalam menyatakan beliau adalah mangsa konspirasi dan bimbang akan keselamatan nyawanya jika terus tinggal di Filipina untuk menghadapi tuduhan itu.

Pendakwaraya Peter Ong berkata bulan lalu bahawa pertuduhan ke atas Lacson adalah berdasarkan bukti fizikal dan kenyataan saksi, termasuk bekas pegawai polis yang mendakwa Lacson memberi arahan untuk membunuh seorang pakar publisiti dan pemandunya pada 2000.

Pakar publisiti Salvador “Bubby” Dacer pernah mewakili tokoh politik, termasuk bekas Presiden Joseph Estrada. Lacson dan Estrada menafikan terbabit dalam pembunuhan itu.

Dacer dan pemandunya, Emmanuel Corbito, diculik di Manila dan kemudian ditemui mati dicekik di dasar sungai. Mayat mereka disimbah petrol dan dibakar. - AP

No comments:

Posting Terkini