Pages

Friday, January 29, 2010

Lans Koperal dinamakan penyebar gambar bedah siasat Nurin

KUALA LUMPUR: Jazimin Abdul Jalil, bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin, hari ini dibenarkan untuk menamakan anggota polis Amran Arifin yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin sebagai defendan dalam kes saman kecuaian terhadap polis dan kerajaan.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Noordura Mohamed Din, membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Jazimin Abdul Jalil memohon untuk menamakan Amran, seorang Lans Koperal, sebagai defendan kelima selepas Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia berikutan pengakuan dalam pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar itu diedarkan Amran.

Dengan kemasukan itu, semua defendan juga menarik balik permohonan untuk membatalkan saman itu.

Peguam Akbardin Abdul Kader yang mewakili Jazimin memberitahu media bahawa mahkamah memerintah beliau untuk menyerahkan saman itu terhadap Amran dan mahkamah akan menetapkan tarikh untuk pengurusan kes selepas kedua-dua pihak melengkapkan dokumen-dokumen berkaitan dengan kes itu.

Akbardin berkata, beliau akan menyerahkan saman itu sendiri kepada Amran.

Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom mewakili defendan terbabit.

Jazimin, 35, seorang pekerja di syarikat keselamatan, mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan atas dakwaan cuai berikutan pengedaran gambar bedah siasat anak perempuannya itu dalam internet.

Beliau memohon gantirugi am, gantirugi teladan dan gantirugi teruk, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, dengan mendakwa gambar berkenaan bersifat sulit serta peribadi dan bukan untuk tatapan umum tetapi hanya untuk tujuan penyiasatan kes Nurin.

Nurin, 8, hilang pada 20 Ogos 2007 selepas pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini. Mayatnya ditemui dalam sebuah beg sukan 27 hari kemudian, di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya.

Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa dia didera secara seksual.

Pada 13 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Jazimin supaya kes saman itu diselesaikan dengan cepat melalui penentuan persoalan undang-undang selepas memutuskan bahawa perkara itu mesti ditentukan menerusi perbicaraan penuh. - Bernama

No comments:

Posting Terkini