Pages

Saturday, December 12, 2009

Petronas, Shell dapat hak bangun lapangan minyak Iraq

BAGHDAD: Petronas dan Royal Dutch Shell memperoleh hak untuk membangunkan satu daripada lapangan minyak terbesar dunia yang masih belum diteroka di Iraq ketika negara itu mengadakan bidaan kedua kontrak minyaknya sejak penaklukan Amerika Syarikat (AS) pada 2003.

Kedua-dua syarikat mencadangkan harga hanya AS$1.39 setong dan berjanji untuk meningkatkan pengeluaran daripada lapangan minyak Majnoon sehingga 1.8 juta tong sehari, lebih sekali ganda daripada yang dijangkakan Iraq.

Harga itu adalah di bawah yang sanggup dibayar oleh Iraq.

“Kami mengumumkan bahawa konsortium Shell dan Petronas sudah memperoleh (kontrak) untuk membangunkan Majnoon, dan harga yang ditawarkan lebih rendah daripada yang diperincikan Kementerian Minyak,” kata Menteri Minyak Iraq, Hussain al-Shahristani pada majlis bidaan yang dikawal ketat itu di Baghdad, semalam.

Gergasi minyak Perancis, Total yang bergabung dengan syarikat China, CNPC turut membida dan dijangka kecewa kehilangan kontrak berkenaan yang diburunya sejak pemerintahan Presiden Iraq yang diguling, Saddam Hussein.

Sebagai sagu hati, syarikat itu memperoleh kepentingan dalam konsortium yang diterajui CNPC yang memperoleh hak untuk membangunkan lapangan minyak yang lebih kecil, Halyafa.

Iraq menawarkan 10 lapangan minyak sepanjang dua hari lalu dalam satu peluang terhad kepada firma minyak untuk mendapatkan akses kepada rizab minyak Asia Barat yang banyak dan murah.

Di sebalik penantian itu, tiada satu syarikat yang membida lapangan gergasi yang menghasilkan 8.1 bilion tong di timur Baghdad, sebahagiannya terletak di bawah kawasan lama Sadr City di ibu negara Iraq itu.

Rundingan itu berpotensi untuk meningkatkan pengeluaran minyak Iraq ke paras yang dapat menyaingi pengeluar minyak utama Arab Saudi dan Russia yang boleh menggegarkan imbangan kuasa geopolitik di Asia Barat.

Baghdad terdesak mendapatkan berbilion dolar pendapatan yang diperoleh daripada rundingan berkenaan untuk pembangunan semula selepas perang selama berdekad, sekatan antarabangsa dan pengabaian serta sabotaj bertahun-tahun lamanya.

Persaingan dijangka sengit ketika bidaan kedua yang dibuat sejak penaklukan itu termasuk lapangan besar terakhir minyak - simpanan yang menampung lima bilion tong atau lebih daripada itu.

Lapangan terbabit adalah antara yang terbesar masih belum diteroka di dunia dari segi saiz.

Secara keseluruhan, lapangan terbabit menawarkan lebih banyak minyak daripada yang dimiliki ahli Opec, Libya.

Eksekutif daripada syarikat minyak utama dunia memberanikan diri daripada ancaman keselamatan untuk membuat bidaan di Iraq,

Sebanyak 44 syarikat dijangka menghantar wakil di peringkat tertinggi masing-masing termasuk dari Exxon Mobil, Royal Dutch Shell, BP, Chevron dan Total.

Dengan simpanan 12.6 bilion tong, Majnoon yang terletak di kawasan agak stabil di Iraq selatan adalah satu daripada lapangan minyak belum diteroka terbesar yang masih ada di bumi.

Kontrak Halfaya, yang memiliki simpanan 4.1 bilion tong diperoleh konsortium merangkumi CNPC, Total dan Petronas.

Mereka mencadangkan harga AS$1.40 setong sasaran pengeluaran sehingga 535,000 tong sehari. - Reuters

No comments:

Posting Terkini