Pages

Saturday, December 12, 2009

Negara membangun berbalah pendapat

COPENHAGEN: Satu perbezaan pendapat yang besar muncul antara negara membangun yang besar dengan negara miskin yang terdedah kepada kesan pemanasan bumi, dalam rundingan iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

China, yang merupakan pencemar utama, mengkritik negara kaya kerana gagal bertindak.

Ketegangan berhubung sasaran pengurangan gas rumah hijau muncul pada hari ketiga persidangan di Copenhagen selepas satu draf teks yang diusulkan Denmark mencetus kemarahan negara membangun.

Sewaktu para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersiap sedia untuk membahas bantuan bagi kesan perubahan iklim, China menuduh negara maju gagal mengotakan ikrar hendak mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, selain memberi bantuan kewangan kepada negara miskin bagi mengatasi kesan pemanasan bumi.

Tengkarah berlaku selepas Tuvalu, sebuah pulau kecil di Lautan Pasifik yang bimbang ia akan tenggelam akibat kenaikan aras laut, menggesa negara membangun yang besar menetapkan sasaran pengurangan gas karbon dioksida.

Tuvalu menggesa dibincang satu 'pindaan yang mengikat' terhadap Protokol Kyoto 1997 dan ditetapkan sasaran pengurangan gas rumah hijau bagi kuasa ekonomi sedang membangun seperti China mulai 2013.

Namun langkah tersebut, yang disokong berpuluh negara miskin, dihalang oleh China, India, Arab Saudi dan negara membangun yang besar.

Tengkarah itu mendedahkan perbalahan pendapat di kalangan negara Kumpulan G-77 yang menuduh negara kaya yang menjadi punca pemanasan bumi. Oleh itu mereka yang harus menanggung beban bagi mengatasinya.

Namun China menegaskan bahawa negara membangun sependapat.

'Sebarang percubaan untuk meminta negara membangun memikul tanggungjawab adalah tidak sejajar dengan persetujuan yang sudah pun dicapai masyarakat antarabangsa,' kata jurucakap Kementerian Luar China, Encik Duan Jielong, kepada pemberita.

Kebanyakan negara miskin di Afrika menolak sasaran bagi membataskan kenaikan suhu bumi kepada 2.0 darjah Celsius. Mereka mahu sasaran cuma sebanyak 1.5 darjah Celsius bagi mengelak banjir dan kemarau.

Pemimpin EU berikrar akan mencapai pengurangan sebanyak 20 peratus sepanjang dekad mendatang.

Amerika Syarikat pula mencadangkan pengurangan sebanyak 17 peratus menjelang 2020 berbanding paras 2005, dan ia akan meningkat kepada 42 peratus menjelang 2030.

China mencadangkan pengurangan antara 40 dengan 45 peratus menjelang 2020 berbanding paras 2005. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini