Pages

Sunday, December 13, 2009

Dilema PAS, Umno

DIS 13 — Laporan portal Harakah Daily melahirkan kekecewaan dengan tulisan terbitan Malaysiakini, didakwa cuba lagakan pemimpin PAS.

Memetik Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, portal itu mahu Malaysiakini memperbetulkan atau menarik balik laporannya berhubung isu dana masjid yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng kerana didakwa cuba memperlagakan kepimpinan PAS. Laporan itu kekal dalam portal itu.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen berpendapat laporan Malaysiakini kelmarin berhubung perkara itu sengaja cuba membentuk persepsi berlaku pertembungan pandangan antara pimpinan PAS.

Dengan mengunakan tajuk “PAS tidak sepakat isu dana bina masjid”, Malaysiakini cuba membentuk pemikiran pembaca supaya melihat seolah-olah Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa berbeza pandangan dengan Bendahari PAS Dr. Hatta Ramli, kata Herman.

Herman berhujah, kenyataan Nasharudin dan Hatta jelas membawa maksud yang serupa iaitu kedua-duanya tidak menghalang Nga mengemukakan pandangan berhubung isu itu.

“Tindakan Malaysiakini juga dilihat sama seperti Utusan Malaysia yang menggunakan tajuk kontroversi dalam isu ini bagi menimbulkan kemarahan pembaca.

“Utusan Malaysia mengunakan tajuk ‘Kor Ming persoal kerajaan bina banyak masjid’ dan secara spontan rakyat yang membaca tajuk itu boleh memberikan respon yang negatif,” kata Herman.

Bertolak daripada kenyataan Herman itu, malah pada hari yang sama kelmarin Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata PAS menyokong kenyataan Nga sambil menyifatkan ia membuktikan kegagalan kerajaan pusat dalam pengagihan dana dan bantuan secara berkesan kepada pelbagai agama di negara ini.

Sehari sebelum pandangan-pandangan ini dikeluarkan Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat Kamaruzaman Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Nga untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendirian beliau.

Nga menegaskan kenyataannya berhubung isu peruntukan kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan bukan Islam telah diputar belit dan dijadikan bahan menghasut sentimen perkauman oleh sesetengah media.

PAS merupakan antara tiga komponen Pakatan Rakyat yang dibentuk pada April 2008, beberapa minggu selepas hasil pilihan raya umum ke-12.

Sejak itu, ini bukan kali pertama PAS berhadapan dengan situasi tertekan apabila ada pihak khususnya Umno-BN mempersoalkan keupayaan PAS dalam menghadapi ‘tekanan’ DAP dan PKR. PAS seringkali tunduk kepada DAP. Ini dikaitkan dengan perkembangan keputusan politik di Selangor dan Kedah. Di pihak Pakatan Rakyat PAS dipersoalkan tentang pendirian mereka berhubung kenyataan Nga DAP.

Tulisan laman web Umno Online tiga hari lalu menyebut “PAS dilihat semakin tidak terdaya untuk bertegas mempertahankan idea asal penubuhan mereka apabila disergah bertalu-talu oleh DAP.”

“Entah di mana silapnya sehingga taring PAS semakin tumpul diasah DAP dan sanggup tunduk kepada idealogi mereka biarpun amat bertentangan...,” kata tulisan tersebut.

Pemimpin-pemimpin Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan tindakan Nga ini. Hujah mereka mendakwa PAS tidak berani untuk berhadapan dengan isu semasa.

Umno juga tidak kurangnya dalam menghadapi situasi yang sama. Parti ini kini berhadapan semula dengan tekanan Gerakan ekoran keputusan Majlis Tertinggi minggu lalu memutuskan untuk membatalkan hukuman penggantungan terhadap Datuk Ahmad Ismail yang turut dilucutkan ha-hak beliau dalam parti.

Ahmad, bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, dikenakan hukuman tiga tahun pada Sept 2008 ekoran kenyataan beliau melabelkan masyarakat Cina negara ini sebagai pendatang.

Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang tidak mahu keputusan MT Umno untuk membatalkan hukuman ke atas Ahmad dibesar-besarkan. Umno Pulau Pinang mahu Ahmad dimaafkan selepas beliau menjalani hukuman selama 14 bulan.

Bagaimanapun kelmarin Gerakan Pulau Pinang melahirkan rasa kecewa sambil menuntut penjelasan terbuka berhubung keputusan membatalkan hukuman atas alasan Ahmad sebenarnya telah mencetuskan situasi tidak senang.

Pada Sept 2008 Gerakan Pulau Pinang mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Umno negeri tersebut. Gerakan Pulau Pinang telah memutuskan sedemikian sehari selepas seorang pemimpin Umno bertindak mengoyak gambar Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang ketika itu merupakan pemangku presiden parti itu.

Koh, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang telah membidas Ahmad yang didakwa membuat kenyataan yang menyinggung orang Cina kerana “telah menukar kesilapan peribadinya kepada konflik dan krisis antara parti-parti komponen BN dan yang paling teruk lagi, antara masyarakat.”

Menurut Koh lagi, tindakan penyokong Ahmad menurun, mengoyak dan memijak gambarnya, bukan sahaja dilihat sebagai tindakan yang tidak menghormati dan menghina beliau, tetapi juga keseluruhan parti dan BN.

Ahmad dalam komennya kepada The Malaysian Insider berkata “saya lega dan gembira kerana parti kembali ke landasan perjuangan yang betul. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah perlembagaan parti. Saya gembira dengan keputusan parti.”

Ahmad dilihat masih beranggapan bahawa Umno telah melakukan kesilapan apabila mengambil keputusan itu tahun lalu. Dalam ulasan terbaru Ahmad juga menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada Gerakan, sebaliknya Gerakan yang patut berbuat demikian kerajaan mengambil pendirian mahu memutuskan hubungan dengan Umno.

Jika Umno beranggapan bahawa PAS berada dalam tekanan, Umno juga dilihat berhadapan dengan tekanan senyap-senyap daripada Gerakan, salah satu komponen BN. Adakah Gerakan tidak berpuas hati dengan keputusan Umno ini?

Ini yang dikatakan sebagai pusingan dilema yang lazimnya dilalui parti-parti politik di sebalik kontroversi yang lahir dari semasa ke semasa.

Gerakan menunggu penjelasan Umno. Hari ini PAS akan mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa pusat yang mungkin akan menyatakan pendiriannya berhubung isu Nga.

Nampaknya ini minggu dilema buat PAS dari Pakatan Rakyat dan Umno dari BN.

No comments:

Posting Terkini