Pages

Tuesday, December 8, 2009

Bajet 2010 Pahang tidak sah?

KUANTAN, Dis 8 — Bajet 2010 Pahang yang dibentangkan 13 November lalu tidak sah?

Demikian pendedahan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang juga Timbalan Pengerusi II Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Pahang.

Azan mendakwa Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang adalah tidak sah kerana menggunakan tarikh semakan yang salah iaitu 2009.

Justeru kata beliau, ia menimbulkan kesan legalisasi iaitu sama ada bajet itu boleh digunakan atau tidak oleh kerajaan negeri. Kata beliau perkembangan itu menjadi bukti cukup jelas yang pentadbiran kewangan Kerajaan Negeri Pahang dijalankan secara tidak teliti dan cuai.

Tambah beliau, ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sehubungan itu, Azan mencadangkan agar satu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas dipanggil bagi membetulkan kesilapan tersebut.

Tambah Azan, kesilapan tarikh dalam bajet ini mestilah diisytiharkan secara terbuka kepada umum supaya ia digazetkan dan membolehkannya diguna pakai bagi perbelanjaan kerajaan negeri pada tahun hadapan.

Di Kuala Lumpur, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengakui bahawa bajet Pahang perlu dibentangkan semula menerusi sidang DUN khas ekoran masalah teknikal itu.

Nazri menjelaskan bahawa pembetulan hanya boleh menerusi sidang DUN.

“Pada pengetahuan saya, perkara itu perlu dibawa ke sidang DUN Pahang bagi membolehkan pembetulan dibuat.

“Saya tidak melihat adanya peruntukan yang membolehkan pembetulan boleh dibuat di luar Dewan,” kata beliau mengulas kenyataan Azan di bangunan Parlimen hari ini. Pemimpin-pemimpin negeri Pahang tidak dapat dihubungi untuk reaksi.

No comments:

Posting Terkini