Pages

Saturday, November 21, 2009

Sekretariat Penerangan PR Selangor

SUBANG JAYA - Penubuhan Sekretariat Penerangan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dibuat bertujuan menangani isu-isu berkaitan penerangan peringkat PR di negeri ini.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir (gambar) berkata, penubuhannya adalah selaras dengan hasrat untuk mempertahankan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PR.

“Hasil perbincangan hari ini (semalam), kita telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan bagi menyelaras isu-isu umum berkaitan penerangan ketiga-tiga parti serta menerangkan kepada rakyat tentang dasar dan hala tuju Kerajaan PR.

“Perbincangan ini hampir sama dengan Persidangan Meja Bulat yang diadakan baru-baru ini tetapi bezanya persidangan kali ini melibatkan ketiga-tiga parti komponen PR, Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menghadiri Persidangan Penerangan PR Selangor yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

Difahamkan selepas ini Sekretariat Penerangan PR akan menubuhkan satu jawatankuasa tetap yang terdiri daripada lima (5) ahli daripada ketiga-tiga parti.

“Jawatankuasa ini melibatkan 15 orang ahli yang terdiri daripada seorang Ketua dan setiausaha Penerangan dan tiga (3) ahli tetap,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan sekretariat pertama yang ditubuhkan di negeri di bawah pentadbiran PR.

“Penubuhan ini adalah isyarat kepada Barisan Nasional (BN) bahawa kita sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam keadaan bersatu.

“Kita juga akan membawa kemenangan besar kepada PR dan akan menambahkan kerusi wakil-wakil PR di Selangor,” katanya.

Persidangan selama dua jam ini turut dihadiri oleh 12 wakil daripada ketiga-tiga parti.

“Dalam persidangan ini, PKR oleh Datin Paduka Dr Tan Yew Kew, DAP diwakili oleh Madeline Chang dan saya sendiri mewakili Pas,” katanya.

Tambahnya, satu perhimpunan melibatkan Ketua Penerangan PR seluruh Selangor akan diadakan pertengahan Disember ini.

“Mungkin ia akan diadakan selepas Konvensyen PR dan ketiga-tiga pemimpin PR akan dijemput merasmikan perhimpunan itu nanti.

“Kita harap ia dapat mengubah persepsi masyarakat yang sering menganggap kita tidak ‘sepakat’ dan ‘bertelagah’ sesama sendiri,” katanya.

No comments:

Posting Terkini