KUALA LUMPUR, 20 Julai -- Akibat beraksi lasak ketika melakonkan watak ditembak di tengah tasik, seorang pelakon lagak ngeri dipercayai lemas di Tasik Mines berhampiran sebuah hotel di Seri Kembangan dekat sini.
Kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa Kong Chai Ming, 39, dikatakan terjatuh selepas beraksi dalam satu babak tembak menembak di tengah tasik itu.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata Kong yang berasal dari Seri Kembangan di sini beraksi ditembak dan perlu terjatuh ke dalam tasik.
"Dia berlakon ditembak di dada dan terjatuh ke dalam tasik tetapi sampai sekarang tak timbul-timbul," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.
Beliau berkata selepas beberapa minit usaha mencari tidak berjaya, pihak produksi filem itu terpaksa menghubungi pihak keselamatan hotel sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat.
Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati sehingga pukul 10.30 malam, Kong masih belum ditemui dan operasi menyelamat masih diteruskan.
Sementara itu Pegawai Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan Isa Muharam berkata pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 6 petang.
"Kita masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa sehingga ditemui," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Seri Kembangan dan Serdang dikejarkan ke tempat kejadian bersama-sama unit Skuba Bomba.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment