Pages

Sunday, July 5, 2009

Iktibar di balik populariti MJ

PEMERGIAN raja pop Michael Jakson (MJ) sejak seminggu lalu mengimbau banyak kenangan, secara peribadi. Tersenyum-senyum saya sendiri apabila membelek semula salinan laporan yang saya tulis dalam akhbar ini ketika MJ mengadakan konsertnya pada 29 Ogos 1993 dan konsert kedua yang ditangguhkan tiga hari kemudian iaitu pada 1 September 1993.

Walaupun tumpuannya ketika itu ialah raja pop yang lagu-lagunya menjadi siulan anak-anak muda masa itu, keuntungannya tempias kepada banyak pihak. Terbayang semula betapa Singapura ketika itu bagai meraikan sebuah pesta besar-besaran yang kemeriahannya dirasai segenap lapisan masyarakat di sini, daripada pemandu teksi, pekerja hotel, jurujual di pusat-pusat membeli-belah hinggalah ke balai-balai rakyat.

Peminat MJ dari negara-negara jiran termasuk Malaysia dan Indonesia memenuhi hotel-hotel, Orchard Road dan pusat makan di Newton dan Adam Road. Bayangkan saja padatnya kawasan bandar Singapura ketika itu - daripada 90,000 penonton yang menyaksikan konsert Dangerous MJ di Stadium Negara untuk persembahan dua malam itu, kira-kira 30 peratus merupakan peminatnya dari negara-negara jiran.

Untung besar kedai-kedai di Orchard Road... gedung-gedung besar seperti Isetan dan Scotts melaporkan kenaikan penjualan antara 30 peratus dengan 50 peratus dalam tempoh dua hari konsert itu berlangsung. Bahkan keuntungan hasil perbelanjaan pelancong dalam tempoh tersebut mencapai $1 juta! Pemandu teksi pula tak lengang pelanggan!

Dan oh ya... saya masih teringat bagaimana penyanyi rok Ella serta pengurus Artiste & Repertoire EMI Malaysia, Allahyarham Mohd Arzmy, dan beberapa lagi kenalan dari Malaysia 'terdampar' di pusat makan Adam Roada kerana gagal mendapatkan bilik hotel selepas menonton konsert tersebut.

Kesemua hotel di kawasan Orchard dan Bras Basah penuh. 'Terpaksalah kami lepak di sini sampai pagi dan cuba dapatkan kapal terbang pertama pulang ke KL,' kata Allahyarham Arzmy ketika ditemui wartawan.

Selain Ella, ramai lagi artis popular turun ke sini, termasuklah kumpulan rap popular ketika itu 4U2C (yang dianggotai AC Mizal) dan Nia Zulkarnain. Penyanyi rap Iwa-K, sempat mengadu kepada wartawan beliau gagal menukar rupiah Indonesianya ke dolar Singapura kerana semua pusat tukaran wang yang dikunjungi sudah kehabisan bekalan mata wang tersebut. Tentu sekali, yang tersenyum lebar hasil keberadaan MJ di Singapura 16 tahun lalu itu ialah penganjur konsert itu, SunVic dan Lushington Entertainment, dengan pendapatan yang dilaporkan, sebanyak $7 juta hasil konsert tersebut.

Penat juga mengenangkan betapa sebagai pemberita muda ketika itu, saya terpaksa berkejar ke sana ke mari, mengekori jadual acara MJ, daripada saat menanti ketibaannya di Hotel Raffles di Beach Road berjam-jam lamanya dan akhirnya, beliau muncul dari celah jendela suite hotelnya sambil melambai-lambai tangan.

Namun konsert yang gah itu juga tidak terlepas daripada kontroversi. Ia berlaku apabila penganjur konsert terpaksa menangguhkan persembahan kedua selang tiga hari gara-gara MJ dilaporkan tidak sihat sehingga rebah selepas konsert malam pertama. Ramai peminat MJ dari negara jiran yang tidak dapat menunggu, pulang kehampaan.

Begitulah MJ. Dalam kecemerlangannya mewarnai dunia hiburan, ada saja noda yang terpalit. Tetapi namanya juga manusia. Terlalu besar harapan dan jangkaan peminat terhadapnya, tetapi orang sering terlupa, biar segedung mana kekayaannya atau selangit mana popularitinya, di belakang pentas, bintang seperti itu juga mempunyai perasaan takut, bimbang, resah memikul beban jangkaan dan perhatian luar biasa yang terlalu berat untuk ditanggung.

Akibatnya, mereka yang bergelar superstar ini, hidupnya sering hilang pertimbangan. Biarpun mereka dilihat sebagai bertuah kerana 'dilimpahi' pelbagai keistimewaan dan kelebihan, mereka sering melakukan perkara-perkara yang dianggap berlebihan dan tidak masuk akal.

Bukan MJ saja yang terperangkap dalam situasi ini. Bintang Barat lain seperti Britney Spears, Lindsay Lohan, Whitney Houston dan ramai lagi telah melalui gelombang yang hampir memusnahkan kerjaya dan reputasi mereka.

Begitu juga dengan beberapa nama besar dalam dunia hiburan Melayu di rantau ini.

Ada sesetengah seniman, kalau semasa mudanya digilai kerana kecemerlangannya dalam medan seni, apabila meningkat usia dan masih aktif, satu persatu perlakuan buruknya terdedah. Ada yang dilihat sebagai kaki gaduh, ada yang suka saman menyaman dan pelbagai masalah remeh-temeh yang hanya mengurangkan rasa hormat orang ramai terhadap mereka.

Berbeza daripada kebanyakan kerajaya lain, kerjaya dalam bidang hiburan agak 'zalim' kerana ia hanya memberi ruang kepada mereka yang masih mampu memenuhi jangkaan dan tuntutan orang ramai dalam mengisi fantasi dan emosi mereka.

Anda tidak mampu mengecewakan peminat atau hilangkan kepercayaan mereka dengan cerita-cerita remeh dan memalukan. Cakap mudahnya, selagi orang suka, anda diterima. Sampai masa, biar macam mana anda mencuba menarik perhatian, orang buat tak pandang.

Iktibarnya? Buatlah yang terbaik selagi anda mampu dan selagi orang suka. Usia persaraan dalam dunia hiburan bukan terletak kepada angka umur, tetapi kemampuan anda untuk mempertahankan daya tarikan.

No comments:

Posting Terkini