Pages

Thursday, April 16, 2009

Program Zon Bersih Dilancarkan Bulan Depan

SHAH ALAM, 15 April - Satu program baru yang dikenali sebagai ‘Program Zon Bersih’ di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini akan dilancarkan bulan depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Menurutnya, program itu bertujuan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang paling bersih berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Sebagai permulaan setiap PBT akan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu kawasan yang paling kotor dalam kawasan masing-masing untuk dijadikan sebagai Zon Bersih,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco petang tadi.

Katanya, setiap PBT hendaklah memastikan zon yang dipilih dalam keadaan yang sentiasa bersih selain penyertaan komuniti bagi memupuk kesedaran serta budaya cintakan kebersihan.

Menurutnya, bagi tujuan itu tempoh setahun telah diberikan di mana kawasan yang dianggap paling kotor akan dijadikan sebagai kawasan paling bersih.

“Penguatkuasaan undang-undang akan diperketatkan di kawasan itu bagi mencegah pembuangan sampah secara haram oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Manakala bilangan tong sampah di dalam kawasan itu juga akan ditambah di samping penyelenggaraan jalan, longkang dan landskap juga akan dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata kawasan Zon Bersih yang dipilih akan dimaklumkan kepada masyarakat dengan menggunakan papan tanda khas di setiap jalan masuk ke kawasan tersebut.

Antara kawasan-kawasan yang dipilih ialah Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam (MBSA), SS2 52, Petaling Jaya (MBPJ), Jalan Berangan,Pelabuhan Klang/Taman Gembira (MPK), Pandan Indah (MPAJ), Seri Kembangan/Batu Tiga (MPSJ), Bandar Baru Selayang (MPS), Bandar Baru Bangi (MPKj), Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi (MPSp), Taman Bayu, Pasir Penambang (MDKS), Terminal Bas Bukit Sentosa/Bandar Utama Batang Kali (MDHS), Kg Baru Sungai Jarum/Pasar Sungai Jarum (MDKL) dan Pasar Awam Sekinchan (MDSB). - MURIZA ABDUL HAMID

No comments:

Posting Terkini